2 lelaki ditahan lakukan aksi 'wheelie' di Ampang Jaya

2 lelaki ditahan lakukan aksi 'wheelie' di Ampang Jaya

mhafis@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Tindakan dua lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi ‘wheelie’ di sekitar kawasan sebuah sekolah menengah di sini mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melaksanakan Op Motosikal (OSJ) di kawasan terbabit susulan aduan awam berkaitan kegiatan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya.

JSPT berkata, dalam operasi itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman menjalankan pemantauan serta pemerhatian rapi sebelum menahan dua penunggang motosikal yang didapati melakukan aksi ‘wheelie’ secara berulang kali sehingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, empat buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta yang sama, manakala sebanyak 17 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ampang untuk tindakan lanjut.

“JSPT menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas, khususnya melibatkan penunggangan secara berbahaya yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top