2 minggu ‘lockdown’, Sydney rekodkan jumlah kes harian tertinggi tahun ini

2 minggu ‘lockdown’, Sydney rekodkan jumlah kes harian tertinggi tahun ini

Satu pasangan bersedia membuat ujian Covid-19 di pusat saringan di Nelson Bay, minggu lalu. (Gambar AP)

SYDNEY: New South Wales (NSW) pada Khamis melaporkan kes harian tertinggi Covid-19 tahun ini dalam pada pihak berkuasa bergelut mengekang kluster Delta yang semakin merebak.

Lonjakan kes itu susulan dua minggu sekatan pergerakan dilaksanakan di Sydney, bandar terbesar Australia, seterusnya meningkatkan kemungkinan lanjutan perintah kawalan. Pihak berkuasa berkata, lawatan keluarga yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sebagai punca jangkitan masih meningkat.

Memandangkan proses vaksin di Australia yang lembap, Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian merayu penduduk tidak melawat rumah keluarga dan rakan disebabkan varian Delta yang mudah merebak.

“Adalah penting untuk kita semua mematuhi nasihat pakar kesihatan untuk memastikan peluang terbaik menamatkan sekatan pergerakan ini,” katanya kepada pemberita di Sydney.

Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Sydney sejak 26 Jun lalu.

Disoal sama ada sekatan pergerakan akan dilanjutkan selepas 16 Julai, Berejiklian berkata “tidak realistik” untuk mengandaikan varian Delta boleh dikawal dalam pada kadar vaksinasi adalah rendah dan orang ramai masih tidak mengendahkan peraturan penjarakan sosial.

Pasukan polis negeri itu akan mengerahkan 100 anggota tambahan di kawasan barat daya Sydney mulai Jumaat untuk memastikan penduduk memakai pelitup muka dan tidak melanggar SOP.

“Jelas masih ada anggota masyarakat yang tidak mematuhi (SOP),” kata timbalan pesuruhjaya polis, Mal Lanyon.

Perdana Menteri Scott Morison berkata, kerajaan persekutuan akan memastikan sokongan ekonomi sewajarnya jika sekatan pergerakan dilanjutkan selain menggesa orang ramai bersabar.

“Saya tahu orang semakin letih dan kecewa. Kita berdepan dengan virus yang mempunyai ‘peraturan’ sendiri,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di televisyen.

Jangkitan terbaru membawa jumlah keseluruhan kes di Sydney kepada hampir 400 sejak kes pertama dikesan lebih tiga minggu lalu. Kes berkenaan melibatkan seorang pemandu limosin yang membawa kakitangan penerbangan antarabangsa.

Australia lebih baik berbanding negara maju lain dalam mengawal jumlah kes jangkitan, apabila cuma merekodkan 30,900 kes dan 910 kematian.

Bagaimanapun, kadar vaksinasi di negara itu lambat dengan hanya sekitar 9% penduduk NSW telah divaksin sepenuhnya, manakala 29% saja menerima dos pertama.

Scroll to Top