am@hmetro.com.my
Pontian: Dua pekerja kedai tomyam warga Thailand maut dengan mayat mereka ditemukan melecur teruk dalam kebakaran sebuah rumah didiami di Batu, 36, Jalan Pontian di sini, pagi tadi.
Kebakaran dipercayai berlaku pada jam 10.50 pagi membabitkan mangsa lelaki dikenali sebagai Masabuding, 37, dan Nasri, 31.
Komander Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mahadir Mamat berkata, mayat ditemukan di bahagian tingkap manakala seorang lagi bawah runtuhan bumbung.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan badan melecur antara 80 hingga 95 peratus.
“Kedua-dua mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri selepas kediaman disewa itu terbakar.
“Seorang lagi mangsa berusia 40-an cedera parah dengan tahap melecur di sebahagian badan 40 peratus. Dua lagi cedera ringan manakala seorang lelaki terselamat.
“Seramai 15 anggota BBP Pontian Baru dan Pekan Nenas bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, kebakaran itu menyebabkan rumah dua tingkat musnah 80 peratus.
“Semasa kejadian, terdapat tujuh penghuni dalam rumah terbabit. Bagaimanapun, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




