am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penuntut wanita warga asing berusia 20-an ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway di sini, hari ini.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing di lokasi sama bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 11.03 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang juga penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di sini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, susulan itu seorang penuntut lelaki di IPTS sama berusia 20-an ditahan dan beberapa barang kes yang dipercayai boleh membantu siasatan turut dirampas.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat yang akan dilakukan esok bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Surianti Lataera di talian 013- 3352547.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan berkaitan kes itu di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




