am@hmetro.com.my
Temerloh: Dua lelaki yang keseluruhannya memiliki 40 rekod jenayah dan narkotik ditahan polis, dipercayai terbabit dalam kes kecurian rantai tangan emas dari sebuah kedai emas di Jalan Ahmad Shah, di sini, 27 April lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, mereka ditahan pada Ahad di Arau, Perlis dan Kuantan.
Katanya, tangkapan pertama pada 11.50 pagi membabitkan lelaki berusia 46 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Padang Siding, Arau, manakala tangkapan kedua pada 10.45 malam hari sama membabitkan suspek berusia 42 tahun.
“Suspek kedua ditahan di rumah di kawasan Perumahan Makmur Hijrah Jaya 4, Kuantan. Dia yang bekerja buruh kampung mempunyai 22 rekod membabitkan sembilan jenayah dan 13 kesalahan narkotik.
“Sementara suspek pertama ada 18 rekod lampau (5 jenayah, 13 narkotik),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Nasyim berkata, soal siasat awal, suspek pertama mengaku terbabit kejadian curi itu dengan suspek kedua sebagai pemandu kenderaan.
“Suspek pertama juga didakwa telah menjual barangan kemas yang dicuri di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 1.20 tengah hari 27 April lalu, pemilik kedai emas berusia 32 tahun mendakwa didatangi lelaki berpura-pura membeli barang kemas sebelum melarikan seutas rantai tangan anggaran berat lebih lapan gram bernilai kira-kira RM5,000.
Kejadian dilapor berlaku dalam tempoh lima minit dan hanya tiga individu berada di dalam kedai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




