
Dua individu yang pulang ke United Kingdom (UK) selepas berada di atas kapal persiaran MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus kini menjalani pengasingan kendiri.
LONDON – Dua individu yang pulang ke United Kingdom (UK) selepas berada di atas kapal persiaran MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus kini menjalani pengasingan kendiri ketika seorang kru warga Britain memaklumkan beliau “dalam keadaan baik” di hospital, lapor PA Media/dpa.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) memaklumkan kedua-dua individu yang menjalani pengasingan kendiri di UK itu tidak bergejala, manakala beberapa kontak rapat mereka turut “ditawarkan sokongan dan sedang menjalani pengasingan kendiri”.
Pihak berkuasa kesihatan itu turut membantu mengesan individu yang mungkin berada dalam penerbangan sama dengan kes hantavirus yang disahkan.
UKHSA juga sedang membuat persiapan bagi ketibaan rakyat Britain ke UK dari kapal yang berdaftar di Belanda itu.
Pegawai kesihatan berkata, sebaik sahaja kapal itu berlabuh di Tenerife, baki rakyat Britain di atas kapal boleh dibawa pulang sekiranya mereka tidak bergejala.
“Tiada rakyat Britain di atas kapal ketika ini menunjukkan gejala namun mereka dipantau rapi,” menurut UKHSA dalam satu kenyataan.
Agensi itu menegaskan risiko kepada orang awam “masih sangat rendah”.
Seorang kru warga Britain, Martin Anstee, 56, merupakan antara individu yang dipindahkan keluar dari kapal itu.
Pemandu ekspedisi dan bekas pegawai polis itu diterbangkan ke Belanda untuk menerima rawatan perubatan pakar selepas dibawa keluar dari kapal berkenaan melalui pemindahan secara udara.
Bercakap dari hospital, Anstee memberitahu Sky News: “Saya dalam keadaan baik. Saya tidak berasa terlalu teruk. Masih banyak ujian perlu dilakukan.”
“Saya tidak tahu berapa lama saya akan berada di hospital. Saya kini berada dalam pengasingan.”
Wabak itu, yang dikaitkan dengan tiga kematian, dipercayai berkaitan dengan ekspedisi mengkaji burung di Argentina yang disertai dua penumpang sebelum mereka menaiki kapal berkenaan.
Seramai 19 rakyat Britain disenaraikan sebagai penumpang kapal persiaran itu, yang belayar dari Argentina ke Cape Verde, bersama empat kru warga Britain.
Setiausaha Luar UK Yvette Cooper berkata Pejabat Luar sedang “bertindak segera” untuk membantu membawa pulang rakyat Britain “dengan selamat serta memastikan perlindungan kesihatan awam yang sewajarnya”. – Bernama/PA Media?dpa



