Subang Jaya: Dua premis perjudian dalam talian yang mensasarkan kaki judi dari Vietnam diserbu polis hari ini.
Serbuan dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula 12 tengah hari hingga 3 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dijalankan di dua rumah terletak di Subang Avenue di sini.
Menurutya, dalam serbuan itu polis menahan sembilan warga Vietnam berusia antara 21 hingga 40 tahun.
Katanya, suspek yang ditahan bekerja sebagai operator perjudian dengan gaji RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.
“Siasatan mendapati sindiket ini mencari pelanggan menggunakan Facebook dan Zalo untuk pelanggan dari Vietnam.
“Dua rumah di bangunan sama itu dipercayai sudah menjalankan aktiviti haram ini sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pelbagai peralatan perjudian seperti telefon bimbit, komputer, modem dan router turut dirampas.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) , 4(1)(c), 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman esok,” katanya.




