Hapus budaya biar lebih, jangan kurang

Hapus budaya biar lebih, jangan kurang

Ramadan sering dikaitkan dengan disiplin diri, kesederhanaan dan keinsafan terhadap nikmat rezeki. Namun, persoalan yang semakin mendesak ialah sama ada nilai-nilai murni ini benar benar diteruskan apabila tibanya Syawal.

Dalam konteks semasa, kesinambungan amalan ini amat penting khususnya dalam aspek pengurusan sisa makanan yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Menurut data daripada Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation, Malaysia menghasilkan 38,000 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah ini dianggarkan antara 15,000 hingga 17,000 tan adalah sisa makanan. Lebih membimbangkan hampir 30 peratus daripada sisa makanan ini masih boleh dimakan.

Sepanjang Ramadan walaupun masyarakat digalakkan untuk bersederhana statistik menunjukkan peningkatan sehingga 20 peratus dalam jumlah sisa makanan terutama di bazar Ramadan dan isi rumah.

Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila memasuki Syawal. Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah mendapati bahawa pembaziran makanan semasa musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri boleh meningkat sehingga 25 hingga 30 peratus berbanding hari biasa.

Amalan rumah terbuka penyediaan juadah secara berlebihan serta budaya biar lebih jangan kurang menyumbang kepada peningkatan mendadak ini.

Dalam tempoh hanya satu minggu Syawal jumlah sisa makanan tambahan dianggarkan mencecah lebih 90,000 tan secara kumulatif di seluruh negara.

Dari perspektif alam sekitar implikasi pembaziran ini amat signifikan. Sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan akan mengalami proses pereputan anaerobik dan menghasilkan gas metana iaitu gas rumah kaca yang mempunyai potensi pemanasan global 28 kali lebih tinggi daripada karbon dioksida dalam tempoh 100 tahun.

Menurut United Nations Environment Programme, sisa makanan menyumbang lapan hingga 10 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah kaca global.

Ini menunjukkan bahawa isu pembaziran makanan bukan sekadar isu etika atau ekonomi, tetapi juga krisis iklim yang memerlukan perhatian serius.

Dalam konteks Malaysia laporan oleh SWCorp Malaysia menunjukkan bahawa lebih 80 peratus sisa makanan masih dilupuskan di tapak pelupusan tanpa sebarang rawatan.

Ini bermakna potensi untuk pemulihan sumber seperti kompos atau biogas belum dimanfaatkan sepenuhnya. Jika hanya 50 peratus daripada sisa makanan ini dapat diuruskan melalui kaedah pengkomposan atau penghadaman anaerobik Malaysia berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sehingga ratusan ribu tan karbon dioksida setara setiap tahun.

Sehubungan itu, Syawal seharusnya menjadi medan mempraktikkan nilai yang dipupuk sepanjang Ramadan.

Prinsip kesederhanaan dalam penyediaan makanan perlu diterjemahkan kepada perancangan hidangan yang lebih bijak.

Kajian menunjukkan bahawa perancangan menu mingguan boleh mengurangkan pembaziran makanan isi rumah sehingga 20 hingga 30 peratus.

Selain itu, pengagihan lebihan makanan melalui platform komuniti atau inisiatif bank makanan mampu mengurangkan sisa, sekali gus membantu golongan memerlukan.

Pendekatan teknologi juga memainkan peranan penting. Penggunaan aplikasi digital untuk menjejak lebihan makanan dan menghubungkan penyumbang dengan penerima semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Di Malaysia inisiatif sebegini masih di peringkat awal, namun potensinya amat besar khususnya dalam musim perayaan yang menyaksikan lonjakan lebihan makanan dalam tempoh singkat.

Lebih penting perubahan tingkah laku perlu dipacu melalui kesedaran berterusan. Kempen awam yang menekankan nilai ambil sekadar perlu dan hargai makanan perlu diperkukuh bukan sahaja sepanjang Ramadan, tetapi berterusan hingga Syawal dan seterusnya.

Pendidikan awal di peringkat sekolah juga boleh membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap makanan dan alam sekitar.

Kesimpulannya kesinambungan semangat Ramadan dalam Syawal bukan sekadar soal ibadah ritual, tetapi juga manifestasi tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Dalam menghadapi cabaran pembaziran makanan yang semakin kritikal setiap individu memainkan peranan penting dalam mengubah landskap ini.

Dengan menggabungkan nilai spiritual data saintifik dan tindakan praktikal Syawal boleh menjadi titik permulaan kepada sistem pengurusan sisa makanan yang lebih lestari dan berdaya tahan di Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan & Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top