2 suspek ugut, gertak untuk kembalikan Toyota Alphard disewa kena cekup

2 suspek ugut, gertak untuk kembalikan Toyota Alphard disewa kena cekup

AMPANG – Seorang peniaga dan penghantar makanan diberkas polis selepas mengugut dan menggertak seorang ejen insurans dengan menuntut bayaran sebagai syarat untuk mengembalikan kereta mewah mangsa yang disewa dua suspek itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa telah membuat laporan polis selepas panggilan yang dibuat kepada suspek pertama kira-kira jam 11.15 malam diputuskan.

Tidak lama kemudian, mangsa menerima beberapa mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada nombor yang tidak dikenali yang mengugut dengan menghantar gambar api, parang, pistol serta ugutan akan merosakkan kenderaan pengadu.

Pengadu mengesyaki suspek atau rakannya telah merancang sesuatu untuk mengenakannya, lalu membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan polis itu, pada 20 April lalu lebih kurang 2.15 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menangkap dua suspek lelaki masing-masing berusia 29 dan 20 tahun di kawasan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Polis merampas dua telefon bimbit dan tujuh dokumen bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati suspek pertama telah mengugut mangsa supaya menjelaskan bayaran jikan mahu  mengambil semula Toyota Alphard yang disewanya oleh suspek,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Arau, Perlis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dadah  tetapi suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan satu kes lagi masih dikehendaki bersabit kes yang disiasat.

Mereka direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk disiasat di bawah Seksyen Kes disiasat bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cuba melakukan pemerasan yang boleh dihukum penjara sampai tujuh tahun atau denda atau sebat atau dua daripada seksaan itu

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan sembunyi nama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette