sukan@hmetro.com.my
Shah Alam: Kos penganjuran termasuk majlis pembukaan dan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 antara perkara utama sedang diteliti kerajaan negeri bagi memastikan temasya itu dilaksanakan secara lebih berhemah tanpa pembaziran.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, langkah itu dibuat susulan titah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bersetuju agar penganjuran Sukma diteruskan, namun dengan pendekatan penjimatan kos.
Beliau berkata, perincian lanjut berkaitan penyesuaian perbelanjaan akan dibentangkan kepada Sultan Sharafuddin dalam sesi menghadap pada Rabu ini, sebelum diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April ini.
“Kita junjung titah Tuanku yang memberi perkenan untuk teruskan penganjuran Sukma, namun dengan nasihat supaya kos dikurangkan.
“Jadi kita akan perincikan semula perbelanjaan termasuk cadangan ‘scale down’ bagi majlis pembukaan dan penutupan selain venue utama perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk penganjuran sukan dwi tahunan dalam Bajet Khas Sukma XXII Selangor 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bajet khas itu bagi memastikan penganjuran temasya itu berada di tahap terbaik.
Semalam, media melaporkan penganjuran Sukma Selangor akhirnya mendapat lampu hijau apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah dan berlandaskan penjimatan kos.
Perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu bagi membincangkan kedudukan temasya berkenaan.
Mengulas berhubung perkenan Sultan Selangor, Mohd Najwan berkata, ia telah memberikan kelegaan kepada seluruh ekosistem sukan di negara ini dalam memberikan ruang kepada atlet menunjukkan bakat seterusnya mengenal pasti bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan.
Beliau menegaskan, setakat ini tiada sukan digugurkan dengan 37 acara sukan termasuk penambahan silambam, muay thai dan petanque.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, proses naik taraf infrastruktur bagi penganjuran sukan itu hampir 80 peratus termasuk Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13 yang dijangka selesai bulan depan.
Mengulas berhubung suntikan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Najwan berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.
“Bagaimanapun saya akan bincang dengan pihak menteri (KBS) nanti dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 pada 30 April ini.
“Sekiranya di peringkat KBS tidak ada dana kewangan secara spesifik, kita mungkin boleh buat penyesuaian dari segi infrastruktur, kemudahan sukan atau dari hal-hal pentadbiran yang mungkin boleh dibantu di peringkat Persekutuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




