2 tahun yang indah bersama Spurs – Postecoglou

2 tahun yang indah bersama Spurs – Postecoglou

London: Ange Postecoglou meluahkan rasa bangga yang mendalam dalam tempoh dua tahunnya sebagai pengurus Tottenham Hotspur selepas dia dipecat oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.

Jurulatih berusia 59 tahun dari Australia itu membawa kelab berkenaan menjuarai trofi pertama dalam tempoh 17 tahun bulan lalu apabila Tottenham menewaskan Manchester United untuk memenangi Liga Europa.

Namun, kelab itu mengambil keputusan untuk menamatkan khidmatnya selepas musim terburuk dalam saingan liga utama sejak 1976-77, apabila mereka menamatkan saingan satu anak tangga sahaja di atas zon penyingkiran selepas tewas 22 perlawanan.

“Apabila saya mengenang kembali masa saya sebagai Pengurus Tottenham Hotspur, perasaan utama saya adalah kebanggaan.

“Peluang untuk membimbing salah satu kelab bersejarah England dan mengembalikan kegemilangan yang sepatutnya dimiliki kelab ini akan kekal bersama saya seumur hidup.

“Berkongsi pengalaman itu dengan semua yang benar-benar menyayangi kelab ini dan melihat kesan yang dibawanya kepada mereka adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

“Malam di Bilbao itu adalah kemuncak kepada dua tahun kerja keras, dedikasi dan keyakinan yang tidak pernah luntur terhadap sebuah impian.

“Banyak cabaran yang perlu dihadapi dan pelbagai gangguan yang datang bersama usaha mencapai sesuatu yang ramai katakan mustahil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas pemecatannya disahkan.

Postecoglou sebelum ini pernah bercakap menjelang perlawanan akhir Liga Europa mengenai usahanya mengubah persepsi terhadap kelab, dan dia berkata pencapaiannya seharusnya memastikan Tottenham tidak perlu menunggu lama lagi untuk trofi seterusnya.

“Kami meletakkan asas yang kukuh supaya kelab ini tidak perlu menunggu 17 tahun lagi untuk kejayaan yang seterusnya.

“Saya amat percaya kepada kumpulan pemain ini dan tahu mereka masih mempunyai banyak potensi dan ruang untuk berkembang,” katanya.

Walaupun penyokong Tottenham berbelah bahagi mengenai masa depannya, Postecoglou mempunyai pesanan khusus buat mereka.

“Saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjadi nadi kelab ini – para penyokong.

“Saya tahu ada ketika berada dalam keadaan sukar, tetapi saya sentiasa merasakan mereka mahu saya berjaya dan itu memberikan saya semua motivasi yang diperlukan untuk terus berjuang.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bersama saya setiap hari sepanjang dua tahun ini.

“Sekumpulan anak muda yang hebat yang kini menjadi legenda kelab ini, dan barisan jurulatih yang menakjubkan yang tidak pernah meragui bahawa kami mampu melakukan sesuatu yang istimewa. Kami akan terikat selama-lamanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top