suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Rawang: Penuntut lelaki sebuah universiti swasta maut selepas kereta dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Taman Sari menghala ke Country Homes, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, kemalangan jam 2.25 petang itu turut menyebabkan rakannya yang juga penumpang cedera.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian jam 2.41 petang membabitkan sebuah Perodua Myvi dinaiki dua lelaki berusia 18 tahun.
“Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, rakan mangsa yang juga penumpang mengalami kecederaan dibawa ke klinik untuk rawatan.
Sementara itu, katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ibrahim meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada i Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor V Rathana Kumar di talian 017-7745565 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




