2 warga emas maut, 5 cedera nahas di Slim River

2 warga emas maut, 5 cedera nahas di Slim River

am@hmetro.com.my

Slim River: Dua lelaki warga emas maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Kampung Kuala Slim, di sini, malam ini, insiden yang turut menyebabkan lima lagi mangsa cedera.

Dalam nahas itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu dan penumpang kereta Proton Saga, masing-masing berusia 73 tahun, manakala pemandu Hilux yang berusia 30 tahun serta empat penumpang warga asing hanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.19 malam dan segera menggerakkan lapan anggota serta satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River ke lokasi kejadian.

“Pemandu dan penumpang Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan awal, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Mayat dua warga emas itu turut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top