Madrid: Pemain tenis Perancis, Lois Boisson tidak sabar untuk kembali ke gelanggang apabila turun beraksi di Terbuka Madrid, minggu ini selepas beberapa bulan bergelut dengan kecederaan.
Lois mencuri tumpuan tahun lalu apabila mara ke separuh akhir ,Terbuka Perancis termasuk menewaskan dua pemain ranking 10 terbaik dunia, Jessica Pegula dan Mirra Andreeva.
Pemain berusia 22 tahun itu kemudian meneruskan momentum dengan meraih gelaran pertama Jelajah WTA di Hamburg sebelum melonjak ke kelompok 50 terbaik dunia, namun selepas itu dibelenggu masalah kecederaan.
“Beberapa bulan kebelakangan ini sangat sukar, paling sukar sejak saya mula bermain tenis. Dari segi mental, saya tidak mengendalikannya dengan baik,” katanya.
Lois yang kini menghuni ranking ke-46 dunia berkata, tempoh sukar itu banyak mengajarnya dan membantu dia kembali lebih kuat.
“Saya yakin saya ada kemampuan untuk mencapai perkara besar dalam tenis.
“Saya gembira kerana kini lebih kuat dan mula menerima segala yang berlaku,” katanya.
Dia tidak beraksi sejak menarik diri daripada kejohanan di Beijing, September lalu, susulan beberapa kecederaan termasuk masalah lengan yang disifatkan sukar diurus.
Menurutnya, perhatian meluas selepas kejayaan di Roland Garros mungkin turut memberi tekanan tambahan kepada dirinya.
Kini kembali beraksi di gelanggang tanah liat kegemarannya, Lois akan membuka kempen di Madrid dengan menentang pemain Amerika Syarikat, Peyton Stearns.
“Saya tiada jangkaan khusus. Sudah tentu saya mahu menang dan beri yang terbaik.
“Tapi paling penting, saya gembira dapat kembali bermain tanpa kesakitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




