20 premis lubuk lombong bitcoin diserbu SPRM, TNB

20 premis lubuk lombong bitcoin diserbu SPRM, TNB

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lebih 20 premis yang dijadikan lubuk sindiket melombong bitcoin yang dijana menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram, diserbu siang tadi.

Operasi besar-besar itu dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan operasi sindiket terbabit yang menyebabkan syarikat utiliti terbabit kerugian ‘jutaan ringgit.

Berdasarkan sumber, selain sekitar ibu negara, operasi membabitkan 20 premis itu turut dilaksanakan serentak di Melaka, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Sindiket berkenaan juga dikatakan ada yang cuba menawarkan sogokan dalam bentuk bitcoin untuk melindungi kegiatan mereka.

Dalam serbuan di Jalan Puchong Mesra, di sini siang tadi, pasukan serbuan berhadapan kesukaran memasuki premis dua tingkat sehingga mengambil masa kira-kira sejam untuk memecahkan pintu besi di bahagian bawah premis.

Kesukaran sama dilalui apabila pasukan serbuan gagal membuka pintu di tingkat dua.

Selepas lebih sejam berusaha, mereka akhirnya terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, yang kemudian menggunakan mesin pemotong besi berkuasa tinggi untuk membuka dua lagi lapisan pintu.

Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui 27 mesin bitcoin yang sedang berfungsi dalam satu daripada enam bilik di premis berkenaan.

Bilik selebihnya pula sedang diubah suai dipercayai juga untuk menempatkan mesin bitcoin.

Sumber berkata, menurut bacaan meter oleh petugas TNB, dianggarkan premis ini menggunakan lebih 24,000 kilowatt elektrik dengan anggaran kerugian TNB mencecah RM12,000 sebulan.

“Premis ini pernah diserbu tiga bulan lalu dan ketika serbuan, premis ini tidak berpenghuni.

“Kita percaya pekerja premis ini hanya datang waktu malam, dua hari sekali untuk memeriksa keadaan mesin bitcoin di sini,” katanya.

Difahamkan, satu sidang media oleh Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki akan diadakan di Putrajaya berhubung operasi berkenaan, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top