DBKL roboh dua binaan sangkar burung tanpa kelulusan

DBKL roboh dua binaan sangkar burung tanpa kelulusan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Cheras: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan dua struktur binaan sangkar burung tanpa kelulusan yang didapati mencetuskan kacau ganggu di Kampung Cheras Baru, di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas pemilik struktur berkenaan gagal mematuhi empat notis penguatkuasaan dan pengosongan tapak yang dikeluarkan sebelum ini.

Katanya, notis itu dikeluarkan kerana binaan tanpa kebenaran dan kacau ganggu di kawasan rezab awam mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kerja-kerja meroboh dua struktur dan pembersihan kawasan berkenaan berjalan dengan lancar termasuk menyita dan memindahkan pelbagai jenis unggas (burung) sebanyak 19 ekor.

“Kesemua burung yang disita dibawa ke stor Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengikut proses dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, DBKL mengingatkan pemilik atau individu supaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa bagi sebarang pembinaan atau pemeliharaan haiwan agar tidak mengganggu laluan awam, persekitaran dan penduduk setempat.

“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan berikut: https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top