Pelakon Santan Berlada, Fauziah Abd Samad meninggal dunia

Pelakon Santan Berlada, Fauziah Abd Samad meninggal dunia

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas wartawan hiburan yang juga pelakon drama popular, Santan Berlada dengan watak ikonik Monalisa (Mona), Fauziah Abd Samad meninggal dunia di kediamannya di Kuang, Selangor, hari ini.

Berita sedih ini disampaikan anaknya, Nadia menerusi media sosial Facebook Fauziah pada petang ini.

“Assalamualaikum. Innalillah wa inni ilaihi rajiun. Mak saya Fauziah Abd Samad telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 4 petang tadi.

“Mohon sedekahkan Al Fatihah buat mak saya, doakan semoga rohnya dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal ibadah dan ditempatkan di antara hambaNya yang beriman,” tulisnya.

Nadia yang dihubungi menjelaskan ibunya tidak mengalami sakit yang serius kecuali muntah darah dari malam tadi.

“Papa nak bawa mama pergi hospital tapi dia tak nak dan hanya nak duduk rumah. Petang tadi mama nak pergi tandas tapi selepas itu dia sesak nafas.

“Mama kemudian rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya.

Allahyarham Fauziah, 71, atau lebih dikenali sebagai Kak Jee tinggal berdua bersama suaminya dikenali sebagai Pali.

Menurut Nadia lagi, lokasi pengebumian ibunya setakat ini belum dapat ditentukan lagi.

Sementara itu kematian Fauziah mengiringi pemergian rakan artis yang membintangi sitkom popular era 1980-an terbabit iaitu Allahyarham Khairul Azhar (Joe), Allahyarham Ali Mamak, dan mendiang Accapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top