KUALA LUMPUR: PETRONAS memilih 20 syarikat pemula niaga untuk menyertai edisi kedua program pemecut teknologinya, Petronas FutureTech 2.0.
Program disasarkan bagi merangsang inovasi tempatan serta meningkatkan kualiti pemula niaga teknologi agar setanding dengan standard antarabangsa.
Syarikat petroleum nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, program itu menerima sambutan positif daripada pemula niaga teknologi yang berpotensi besar dan menerima jumlah permohonan lebih daripada berganda sebanyak 368 berbanding 165 bagi edisi pertama pada 2019.
“Sebanyak 20 pemula niaga dipilih bagi inovasi mereka yang berpotensi menyelesaikan cabaran dan mencari peluang dalam Industri 4.0, bahan kimia khusus dan bahan canggih, masa depan tenaga, transformasi digital dan inovasi runcit.
“Program Petronas FutureTech 2.0 dijalankan secara kerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd (TM), Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan firma modal teroka global 500 Startups,” katanya.
Ketua Petronas Ventures, Arni Laily Anwarrudin, berkata kerjasama antara PETRONAS dengan TM dan SDP adalah bertujuan menyediakan peluang kepada pemula niaga tempatan untuk mendapatkan pandangan daripada pakar industri yang akan membantu mereka meneroka, memupuk dan meningkatkan inovasi teknologi di negara ini.
“FutureTech 2.0 menunjukkan komitmen PETRONAS untuk meletakkan dirinya sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif yang bersedia untuk menyediakan langkah inovatif, membawa perubahan dan mampan dalam berdepan dengan peralihan tenaga serta permintaan pengguna.
“Kami berharap dapat membantu mereka memperoleh keupayaan dan kemahiran baharu dan menyokong mereka dalam usaha niaga dan kesediaan mereka bagi menghadapi masa depan,” katanya.
Arni Laily berkata, menerusi kerjasama dengan TM, SDP dan 500 Startups ini, syarikat itu teruja dengan dengan prospek kerjasama dan peluang komersial dengan 20 pemula niaga yang terpilih.
Bermula 30 Ogos 2021, PETRONAS berkata syarikat pemula niaga ini akan mengambil bahagian dalam program maya selama 12 minggu yang termasuk kelas induk, bengkel kerja dan bimbingan daripada rangkaian mentor global 500 Startups serta pakar daripada Petronas, TM dan SDP.
“Pada penghujung program 12 minggu ini, pemula niaga ini akan membentangkan inovasi mereka kepada pelabur berpotensi dan pemegang kepentingan industri.
“Pemula niaga yang dipilih kemudiannya akan terus bekerjasama rapat dengan Petronas, TM dan SDP untuk menjalankan dan melengkapkan projek rintis yang berpotensi bagi mengesahkan teknologi itu dengan bahagian perniagaan dalam syarikat-syarikat ini,” katanya.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




