Polis buru kumpulan bakar mercun ketika fotografi pengantin

Polis buru kumpulan bakar mercun ketika fotografi pengantin

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis giat mengesan sekumpulan individu yang membakar mercun pada awal pagi, ketika sesi fotografi pengantin sehingga mengganggu ketenteraman awam di Setia Alam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan aktiviti pembakaran mercun secara berulang di kawasan parkir awam di Setia Alam Community Trail.

Katanya, pihaknya menerima laporan pada 8.26 pagi hari ini, selepas video tular itu menarik perhatian orang ramai.

“Siasatan awal mendapati kejadian pertama berlaku pada jam 1.05 pagi, Ahad lalu dengan dianggarkan antara 50 hingga 100 das mercun yang dilepaskan dalam tiga siri berturut-turut.

“Aktiviti sama dipercayai berulang pada keesokan harinya, sekitar jam 2.11 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan bagi siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda atau tindakan undang-undang sewajarnya.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 019-252 2905 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top