20 Syarikat tembusi pasaran eksport

20 Syarikat tembusi pasaran eksport

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi menyasarkan lebih banyak syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus terus mengharumkan nama Malaysia sebagai peneraju dalam industri ituberkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sentiasa komited dalam meningkatkan daya saing dan pembabitan Bumiputera dalam industri itu.

Menurutnya, industri perkayuan adalah salah satu penyumbang utama dalam sektor agrikomoditi negara.

“Sebanyak 830 syarikat Bumiputera berdaftar dengan industri perkayuan setakat November tahun lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 20 syarikat sudah berjaya menembusi pasaran eksport.

“Sasaran kita adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Bumiputera dapat menembusi pasaran antarabangsa dan terus mengharumkan nama Malaysia sebagai peneraju dalam industri ini,” katanya pada Majlis Apresiasi MTIB dan Pelancaran Buku Anatomi & Pengecaman Kayu Malaysia di sini, semalam.

Buku berkenaan adalah sebagai sumber pembelajaran, rujukan dan panduan terhadap asas pengecaman dan sifat anatomi kayu yang akan digunakan oleh warga kerja MTIB, pihak industri dan pihak berkepentingan termasuk institusi pendidikan.

Turut hadir, Pengerusi MTIB, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Di samping itu, Johari berkata, MTIB memain peranan dan memberi sumbangan besar dalam pembangunan industri perkayuan negara, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun lalu, eksport produk kayu negara mencatatkan nilai sebanyak RM22 bilion, manakala import pula berjumlah RM4 bilion.

“Industri kayu dan perabot Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif, apabila eksport produk kayu negara mencecah RM22.9 bilion pada 2024, meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada masa sama, nilai import kayu dan produk kayu mencatatkan peningkatan sebanyak 13.2 peratus, dengan jumlah RM8.5 bilion berbanding tahun 2023,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 30 orang kakitangan MTIB menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan kepada prestasi kerja yang cemerlang pada tahun lalu.

Selain itu, turut diberikan penghargaan kepada pejabat cawangan MTIB yang menerima Penarafan Bintang Audit and Control Self-Assessment (ACSA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top