Pemandu SUV pandu lawan arus, rempuh 5 kenderaan positif dadah

Pemandu SUV pandu lawan arus, rempuh 5 kenderaan positif dadah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) ditahan selepas memandu di laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan yang diparkir di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Sepadu Off Jalan Rantau Panjang, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki tempatan berusia lewat 30-an itu turut positif dadah.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 11.30 pagi apabila pemandu terbabit memasuki laluan bertentangan ketika dalam perjalanan dari Rantau Panjang menghala ke Bandar Sultan Suleiman.

“Akibatnya, kenderaan Proton X70 dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu kiri jalan termasuk sebuah lori makanan (food truck) yang sedang berniaga di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan semua pihak yang terbabit tampil membuat laporan polis kecuali seorang penunggang motosikal yang meninggalkan lokasi sejurus selepas kemalangan.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu SUV itu didapati positif dadah,” katanya,

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top