sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli membuka kempen Grand Prix (GP) Austria dengan langkah positif apabila mencatat masa keenam terpantas dalam sesi latihan di Litar Red Bull Ring, hari ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu merekodkan masa 1 minit 40.289 saat (s), sekali gus memastikan tempat dalam kelompok 14 pelumba terbaik yang layak secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2), esok.
David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP muncul terpantas dengan catatan 1:39.668s, diikuti pendahulu kejuaraan Moto3, Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team yang ketinggalan 0.195s.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe pula melengkapkan kelompok tiga terpantas dengan catatan 1:40.171s.
Keputusan itu pastinya memberi suntikan keyakinan buat Hakim Danish selepas dia terpaksa berdepan penalti grid pada GP San Marino di Litar Misano, minggu lalu.
Di Misano, pelumba berusia 19 tahun itu bagaimanapun bangkit daripada barisan belakang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 sekali gus mengutip empat mata berharga.
Hakim Danish sebelum ini turut menyuarakan keyakinan pengalaman beraksi di Red Bull Ring mampu membantu usahanya memburu keputusan lebih baik di Austria.
“Saya rasa pengalaman beraksi di Red Bull Ring sebelum ini banyak membantu kerana saya sudah mempunyai gambaran mengenai karakter litar dan perkara yang perlu diberi perhatian.
“Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana kami beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan perlumbaan juga sengit. Jadi, saya perlu menyesuaikan diri dengan jentera serta keadaan perlumbaan semasa.
“Fokus utama saya adalah untuk mengharungi setiap sesi dengan konsisten, mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan grid dan mendapatkan kedudukan permulaan yang baik.
Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlumbaan nanti dan mengutip sebanyak mungkin mata untuk membantu saya memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan,” katanya selepas perlumbaan di Misano sebelum ini.
Hakim Danish ketika ini menghuni tangga kelapan keseluruhan dalam carta Moto3 dengan 94 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd

