Presiden Indonesia disaman rakyat kerana kebakaran hutan

JAKARTA: Sekumpulan peguam yang menamakan diri mereka sebagai Pasukan Hukum Nafas Kalimantan Barat memfailkan saman berkelompok berhubung kejadian kebakaran hutan dan tanah yang berulang di Pengadilan Negeri Pontianak. 

Mereka menyaman kerajaan pusat dan kerajaan wilayah.

Defendan dalam saman itu ialah Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto; Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka; Kementerian Perhutanan, Kementerian Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Selain itu, defendan turut merangkumi Polis Negara Indonesia, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Gabenor Kalimantan Barat, Ketua Polis Kalimantan Barat selain 14 ketua daerah dan ketua pentadbir bandar di Kalimantan Barat.

Peguam Pasukan Hukum Nafas, Glorio Sanen berkata, saman itu difailkan atas mandat beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan seorang plaintif individu yang mewakili penduduk terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah serta jerebu.

“Atas dasar mandat yang diberikan oleh pemberi kuasa, kami, Pasukan  Hukum Nafas Kalimantan Barat, telah mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media di Pontianak pada Khamis seperti dilaporkan wartawan Cantya Zamzabella.

Sementara itu, Penyelaras Pasukan Hukum Nafas, Glorio Sanen dalam kenyataan bertulis pada Jumaat berkata, saman itu dikemukakan sebagai tindak balas terhadap kecuaian dan kegagalan kerajaan dalam mencegah serta menangani kebakaran hutan termasuk tanah yang berulang setiap tahun.

Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kering yang lazimnya berlangsung dari Julai hingga Oktober.

Namun, kebakaran tahun ini amat teruk, sebahagiannya disebabkan fenomena El Nino yang kuat  dijangka menjadi yang terkuat sejak rekod berkaitan mula dicatat kira-kira empat dekad lalu.

Pakar-pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad dan amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar sebagai punca jerebu.

Dari Borneo, jerebu itu turut merebak ke negara jiran Singapura dan Malaysia. – AGENSI

Scroll to Top