SAR pemancing terakhir hilang bersambung esok

Klang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, Isnin lalu akan disambung semula esok.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Leftenan Nur Affiq Nor Hisham berkata, operasi pencarian yang memasuki hari kelima ditangguhkan pada 7 malam tadi berikutan tiada petunjuk baharu.

“Setakat ini, tiada sebarang maklumat diterima daripada aset di laut dan udara yang melakukan SAR bermula pagi tadi. Mangsa terakhir belum ditemukan dan operasi akan disambung semula pada 7 pagi esok,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa, di sini hari ini.

Beliau berkata, radius pencarian operasi itu esok akan ditetapkan berdasarkan keadaan pasang surut air, cuaca dan arah angin.

“Keadaan angin boleh menolak mangsa ke arah tertentu dan kita akan pastikan kawasan pencarian ditetapkan dengan betul.

“Operasi melibatkan sebuah Kapal Maritim (KM) Nusa, pesawat CL415MP dan bot peronda RH33 Pasukan Polis Marin (PPM) itu akan kekal menumpukan kawasan perairan sempadan Selangor dan Perak,” katanya.

Sementara itu, keluarga kepada Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat yang ditemukan di perairan Hutan Melintang semalam ialah pemancing berkenaan.

Bapa saudara mangsa, Khairul Muhidin, 47, berkata, prosedur itu perlu dilakukan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi pengesahan identiti.

“Ini berikutan keadaan mayat itu telah beberapa hari berada di laut sehingga menyukarkan proses pengecaman secara fizikal.

“Jadi, proses DNA akan dijalankan pihak hospital selepas bedah siasat dijangka selesai dan doktor forensik memaklumkan bahawa keputusan itu mungkin akan diperoleh seawal esok,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Beliau berkata, jenazah akan dituntut keluarga sekiranya semua proses itu selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Kebun Barat, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

Dalam pada itu, media melaporkan jenazah pemancing, Allahyarham Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, selamat dituntut ahli keluarganya di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA) pada 5.40 petang tadi selepas selesai proses pengesahan DNA.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sa’adah Kampung Johan Setia, Bandar Putera 2 Klang, malam ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan mayat kedua pemancing dipercayai Muhammad Ridzuan ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 4.26 petang semalam, menjadikan enam daripada tujuh mangsa yang hilang telah ditemukan, setakat ini.

Empat mangsa dalam keadaan selamat, manakala dua meninggal dunia termasuk Mohd Shahril yang mayatnya ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 8.30 pagi Rabu lalu, manakala seorang lagi pemancing yang hilang, iaitu Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, belum dijumpai setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top