am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengunjung bazar Ramadan di Selangor boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku dalam penyediaan dan penjualan makanan dengan lebih mudah menerusi Kod Respons Pantas (QR) Kempen Keselamatan Makanan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, menerusi penggunaan QR itu, sebarang aduan dibawah kawal selia jabatan itu akan disampaikan terus untuk tindakan lanjut.
“Tindakan mengikut Akta Makanan 1983 serta peraturan di bawahnya akan dilakukan sekiranya ada kesalahan selepas siasatan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya’ Ramadan 2025: Jelajah Bazar Ramadan Selangor di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kod QR itu juga menyediakan akses kepada pelbagai tips keselamatan makanan ketika bulan Ramadan antaranya pemilihan juadah di bazar, amalan bagi mengelakkan keracunan makanan melalui lihat, hidu dan rasa, tips penyimpanan lebihan makanan dan cara pembelian buah kurma.
Katanya, kesemua maklumat berkenaan disediakan dalam bentuk infografik yang menarik serta mudah difahami.
“Peniaga dan orang awam boleh mendapatkan maklumat dengan hanya mengimbas kod QR pada banting yang disediakan. Banting ini akan digantungkan di bazar Ramadan terpilih untuk kemudahan orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Ummi Kalthom berkata, JKNS menempatkan lebih 200 pegawai kesihatan dalam melaksanakan pemeriksaan rambang di 236 tapak dan 15,349 peniaga bazar Ramadan di seluruh Selangor.
Katanya, ia sebagai langkah berterusan dalam memastikan kualiti penyediaan dan penjualan makanan kepada pembeli di bazar dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat serta bersih.
“Pemeriksaan ini akan melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak berkuasa tempatan.
“Petugas kesihatan ini akan dihantar secara rambang dan berdasarkan jumlah penjaja di sesebuah bazar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




