Daging ayam disyaki punca 70 harimau mati di Thailand

Daging ayam disyaki punca 70 harimau mati di Thailand

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand melancarkan siasatan menyeluruh selepas lebih 70 harimau dilaporkan mati secara misteri bulan ini di sebuah taman pelancongan terkenal di Mae Rim, utara negara itu.

Menurut laporan akhbar Bangkok Post, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Chiang Mai mengarahkan kuarantin dan kerja pembasmian kuman di Tiger Kingdom Chiang Mai susulan kes kematian luar biasa raja rimba itu.

Premis kendalian swasta itu menutup operasi selama 14 hari dan melarang kemasukan orang awam sepanjang siasatan dijalankan.

Bangkai harimau dihantar ke Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Chiang Mai untuk ujian makmal, namun keputusan masih belum diperoleh.

Sumber memaklumkan kematian mula direkodkan pada 8 Februari lalu.

Siasatan awal memfokuskan kemungkinan pencemaran daging ayam mentah yang dibekalkan sebuah ladang swasta terkenal dan digunakan sebagai makanan harimau, namun pihak berkuasa menegaskan punca sebenar belum disahkan.

Harimau yang masih hidup dipindahkan ke pusat jagaan Tiger Kingdom di daerah Mae Taeng untuk pemantauan rapi sementara ujian lanjut dijalankan.

Pengarah Pejabat Kawasan Perlindungan 16 (Chiang Mai), Kritsayarm Kongsatri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai jumlah kematian besar membabitkan kira-kira 70 ekor harimau di taman berkenaan.

“Kehilangan sejumlah besar harimau dalam tempoh singkat adalah sesuatu yang amat luar biasa,” katanya.

Pejabat Veterinar Wilayah Chiang Mai mengetuai siasatan rasmi, manakala Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan akan menghantar pasukan bagi memantau serta membantu proses siasatan.

Dalam perkembangan berasingan, tersebar khabar angin bahawa seorang doktor veterinar yang terbabit dalam bedah siasat bangkai harimau jatuh sakit dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan kemungkinan jangkitan selesema burung.

Bagaimanapun, pegawai belum mengesahkan sebarang kaitan dan masih menunggu keputusan ujian makmal berhubung punca kematian haiwan berkenaan.

Tiger Kingdom Chiang Mai yang juga antara tarikan utama di Mae Rim memaklumkan penutupan sementara bertujuan membolehkan proses pembasmian kuman menyeluruh serta mengehadkan akses sepanjang siasatan dijalankan.

Taman itu belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkaitan makanan haiwan, sementara menunggu keputusan ujian.

Tiger Kingdom di Chiang Mai dikendalikan Khum Sue Trakarn Co Ltd yang turut menguruskan Tiger Kingdom Phuket serta tiga tarikan Tiger Park iaitu dua di Phuket dan satu di Pattaya.

Syarikat itu ditubuhkan dengan fokus terhadap pembiakan dan pemuliharaan harimau Indochina, selain bekerjasama dengan zoo tempatan dalam pertukaran haiwan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top