'Nilai kemanusiaan sudah mati'

'Nilai kemanusiaan sudah mati'

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Penduduk dunia kini sibuk menonton Piala Dunia 2026. Tiada siapa mengendahkan nasib kami yang terus dibunuh setiap hari. Kami kian dilupakan,” kata Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin Ahmad Abu Ayesh Al-Najjar.

Menerusi kiriman mesej WhatsApp semalam, beliau meluahkan kesedihan berikutan nasib penduduk Palestin di Gaza kian ‘terhakis’ daripada ingatan dunia.

Menurutnya, tatkala jutaan peminat sukan global bersorak meraikan gol di stadium, tentera rejim Israel meneruskan siri serangan roket dan dron yang membunuh rakyat Palestin.

“Terbaharu kumpulan kanak-kanak yang sedang bermain bola sepak di padang menjadi sasaran serangan. Mangsa kanak-kanak, Ahmed Muhsin dan Kamal Alnajjar maut dalam serangan pagi semalam.

“Beberapa lagi kanak-kanak Palestin yang terkena serpihan bom kini dirawat di hospital,” katanya.

Menurutnya, serangan tentera Israel secara sengaja masih menyasarkan kawasan penempatan pelarian, sekolah dan hospital.

“Angka korban di Gaza kini sudah mencecah lebih 73,000 sejak Israel menyerang bumi ini pada 7 OKtober 2023.

“Kekejaman di Gaza sudah mencapai tahap genosid yang amat ngeri. Lebih 173,000 mangsa yang lain mengalami kecederaan parah serta cacat kekal.

“Lebih memilukan apabila lebih 70 peratus daripada angka korban ini terdiri daripada golongan paling rapuh iaitu wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya yang masih bertahan sehingga kini.

Abu Ayesh berkata, nilai kemanusiaan sudah mati di Gaza apabila nyawa penduduk Palestin seolah-olah tiada harga.

“Terbaharu semalam, seramai lapan penduduk Palestin terkorban dan 20 lagi cedera dalam serangan di Beit Lahia, Utara Gaza.

“Selain itu, dua khemah dihuni keluarga Alnajjar dan Al-Bayouk di kawasan Al-Mawasi turut menjadi sasaran peluru berpandu tentera Israel. Serangan menyebabkan seorang penghuni wanita maut manakala empat lagi mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.

Tambahnya, sekatan ketat yang dikenakan menyebabkan lori bantuan makanan dan ubat-ubatan tersadai di sempadan Rafah.

“Apa yang pasti, kebuluran masih digunakan Israel secara sistematik sebagai senjata perang.

“Lebih 500,000 penduduk Gaza kini hidup dalam kebuluran ekstrem. Anak-anak kecil yang terselamat daripada bom terpaksa bertarung nyawa kelaparan akibat ketiadaan makanan.

“Ini menyebabkan kes malnutrisi akut iaitu kekurangan zat melonjak ke tahap paling ngeri dalam sejarah moden. Berapa banyak lagi tubuh kecil yang perlu dikafankan sebelum dunia membuka mata ?” katanya.

Menurutnya, perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui sejak Oktober tahun lalu oleh pihak Israel adalah gencatan senjata palsu.

“Buktinya seramai 1,021 nyawa terkorban dan siri pembunuhan yang berlaku setiap hari. Bedilan mortar dan serangan udara masih berlaku saban hari,” katanya.

Menurutnya, serangan tanpa henti sejak lebih dua tahun lalu memusnahkan dan merosakkan 76.6 peratus daripada keseluruhan struktur perumahan di Gaza.

Kesannya, hampir 1 juta pelarian kini terpaksa bersesak hidup dalam khemah-khemah di usang tanpa bekalan air bersih dan sistem sanitasi yang sempurna.

Malah, kerosakan teruk ini menghumban pembangunan wilayah Gaza ke belakang sebanyak 77 tahun.

Menurutnya, dia bersyukur apabila pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) bagi berupaya menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

“Bantuan dalam bentuk makanan, kemudahan asas harian, bekalan air bersih, khemah dan binaan surau sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top