Mahu cuba 'selera' baharu lebih mencabar dalam kerjaya seni

Mahu cuba 'selera' baharu lebih mencabar dalam kerjaya seni

am@hmetro.com.my

Selepas sering diberikan watak air mata, pendatang baharu dalam bidang lakonan, Syad Mutalib menyimpan impian untuk beraksi dalam naskhah lebih mencabar termasuk watak penyondol.

Syad atau nama sebenarnya, Syadiyatul Qistina Abdul Mutalib, 29, berkata apa yang penting, watak penyondol itu tidak terlalu ‘daring’ dan masih bersesuaian dengan penampilannya yang bertudung.

“Sebagai pelakon, saya rasa karakter gelap seperti penyondol adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan untuk kita cuba lakonkan di set penggambaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana Viu Original, Bidadari Tanpa Syurga di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam drama bersiri itu, Syad melakonkan watak pembantu di samping pelakon popular Nadiya Nisaa dan Datuk Aaron Aziz selaku teraju utamanya.

Bukan sahaja projek drama, Syad juga mahu mengembangkan bakatnya ke layar perak menerusi karya bergenre seram selepas ini.

Katanya, dia juga mahu mencuba watak sebagai mangsa rasukan atau entiti yang merasuki orang lain.

“Sebagai persediaan untuk memantapkan prestasi lakonan, saya juga sering mengikuti kelas lakonan bersama pengarah terkenal, Erma Fatima sama seperti kak Nadiya Nisaa.

“Walaupun ramai yang sudah tahu betapa bagusnya hasil kerja kak Nadiya, dia tetap akan sentiasa cuba memperbaiki diri dan tidak kedekut ilmu ketika di set penggambaran drama Bidadari Tanpa Syurga.

“Begitu juga, abang Aaron Aziz yang banyak membantu di set dan sentiasa memastikan saya berada dalam keadaan selamat serta selesa sewaktu menjayakan babak yang berat,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Syad yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga juga bersyukur kerana dikurniakan suami, Adil Fahmi yang sangat memahami karier seninya.

Katanya, suami tidak meletakkan sebarang syarat, tetapi dia sentiasa menjaga batas dalam lakonan.

“Alhamdulillah, suami saya menganggap kerjaya seni diceburi sebagai satu tugas yang profesional.

“Suami saya tahu isteri dia bagaimana dan walaupun dia tidak meletakkan sebarang had, saya sendiri sebagai isteri tahu batas setakat mana apatah lagi dengan imej bertudung.

“Pada masa sama, penerbit dan pengarah kini sudah sedia maklum batas yang perlu dijaga oleh pelakon yang bertudung,” katanya.

Ditanya persaingan dalam industri seni pula, Syad berkata, dia pernah berasa bimbang mengenai kekurangan tawaran kerja berbanding pelakon yang masih bujang.

“Sebelum berkahwin dulu, ada orang beritahu tentang perkara ini sehingga saya berasa takut dan terfikir sama ada perkara itu betul atau tidak.

“Tetapi, ada seorang kawan yang berpesan kepada saya bahawa apa-apa pun yang terjadi, rezeki itu tetap luas dan sentiasa ada di mana-mana.

“Saya juga faham pihak stesen televisyen atau penerbit mungkin mempunyai senarai artis yang dimahukan, tapi saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat,” kata pelakon Hijrah Jannah dan Aku Bukan Ustazah ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top