Klang: Seramai 2,000 peserta menghangatkan acara Fun Run dan Fun Walk di bawah program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor 2024, yang berlangsung di KSL Esplanade Mall, semalam.
Exco Kesihatan Awam & Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, ANMS adalah agenda negara dalam usaha melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera.
Jelasnya, penganjuran Jelajah ANMS ini satu iltizam Kementerian Kesihatan (KKM) melalui semua Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengetengahkan agenda Malaysia Sihat Sejahtera.
“Bagi memastikan pelaksanaan ANMS mencapai kejayaan sehingga ke peringkat akar umbi, libat urus dan kerjasama strategik hendaklah diperkukuhkan melalui pembabitan aktif daripada pelbagai agensi termasuklah pihak swasta dan juga NGO.
“Usaha sama secara holistik ini juga secara tidak langsung akan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada ke tahap yang lebih optimum,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan program berkenaan.
Jelajah itu mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti KSL Esplanade, Persatuan Senamrobik Selangor, Gardenia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kao Malaysia dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.
Antara lain seperti, Radio Selangor, Decathlon, Bengkel Daya Klang, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, Persatuan Lestari Alam, Earth Home, Believe Fitness, KK Merchant Services, Anuar dan Gallery, Rela dan badan bukan kerajaan (NGO) MyChampion.
© New Straits Times Press (M) Bhd




