200,000 pengunjung meriahkan hari kedua KJH X Mega JPJ MADANI 2026

200,000 pengunjung meriahkan hari kedua KJH X Mega JPJ MADANI 2026

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Sambutan terhadap Karnival Jom Heboh (KJH) X Karnival Jom Heboh Pulau Pinang X Mega Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) MADANI 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang terus meriah dengan dijangka menghimpunkan kira-kira 200,000 pengunjung dalam tempoh dua hari penganjurannya sebelum berakhir esok.

Tinjauan mendapati selain mengunjungi lebih 150 reruai termasuk kaunter perhidmatan pelbagai agensi, aktiviti jualan ‘happy hour’ semakin rancak menjelang petang dengan sebanyak 5,000 pek nasi lauk kari ayam percuma habis diedar kepada orang ramai untuk sesi ketiga pada jam 4 petang hari ini.

Pengunjung setia KJH, Nur Azrin Azad, 39, berkata dia sanggup datang dari Shah Alam, Selangor semata-mata untuk merasai kemeriahan KJH edisi Pulau Pinang selain mahu menyaksikan konsert penyanyi pujaan hatinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan legenda rock tanah air, Datuk Awie.

“Saya datang tiga beranak dan menginap di inap desa di sini kerana merancang bergabung bersama keluarga yang akan datang dari Perak dan Kedah malam ini kerana kami semua peminat Siti Nurhaliza.

“Saya sejak lebih 10 tahun menjadi pengunjung setia KJH, setiap edisi bagi saya tidak sama misalnya di hidangan nasi kari ayam ala nasi kandar yang memang terkenal di Pulau Pinang jadi itu agak istimewa,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, reruai New Straits Times Press (NSTP) turut menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik perhatian golongan muda.

Dua sahabat dari Kepala Batas, Muhammad Nur Hakim Muhd Sharin, 22, dan Ryzal Azhari, 21, tidak melepaskan peluang mencuba permainan e-sukan di Dengku Gaming Zone yang dilengkapi teknologi Realiti Maya (VR).

“Kami sebenarnya sudah lama teringin merasai pengalaman bermain permainan. Jadi bila dapat peluang memang rasa sangat teruja,” kata Nur Hakim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top