Petaling Jaya : Penyedia aplikasi emas digital, MHS Gold menyasarkan satu juta pengguna aktif serta 10,000 ejen profesional dalam usaha memperluaskan akses kepada pemilikan emas di negara ini.
Pengasasnya, Mohamad Hifzhan Saifuddin berkata, keyakinan itu berdasarkan kemampuan aplikasi berkenaan yang memudahkan orang ramai membeli dan mengurus pegangan emas secara dalam talian dengan pendekatan lebih interaktif.
“Setiap pembelian disandarkan kepada emas fizikal yang disimpan secara selamat. Ini memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa setiap pegangan mempunyai sandaran terhadap aset sebenar.
“Aplikasi ini bukan sekadar platform jual beli, malah menawarkan pengalaman menarik bagi membantu pengguna membina pegangan emas secara teratur dan konsisten,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran aplikasi itu, hari ini.
Pada majlis sama, pelakon popular, Yana Samsudin diumumkan sebagai duta jenama MHS Gold.
Tambah Mohamad Hifzhan, pengguna diberi fleksibiliti untuk menebus emas digital kepada bentuk fizikal mengikut keperluan masing-masing.
Malah, pemilikan emas boleh dimulakan dengan modal serendah RM10.
“Kami mahu memudahkan akses supaya lebih ramai orang boleh memiliki emas dengan cara ringkas dan tidak membebankan.
“Apabila proses menjadi mudah, ia secara tidak langsung membantu pengguna membina disiplin dalam pengurusan simpanan,” ujarnya.
Aplikasi MHS Gold kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, dengan penekanan terhadap pematuhan garis panduan operasi yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




