‘2022 tahun gemilang JDT’- TMJ

30 September 2022 10:33amMasa membaca: 4 minit

Tangkap layar kenyataan media JDT

WALAUPUN musim 2022 masih belum tamat, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui ini merupakan tahun yang gemilang buat JDT di atas beberapa kejayaan yang diraih pasukan senior hingga ke pasukan junior.

Menurut TMJ, beliau dan pihak pengurusan kelab akan terus berusaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini dan mohon sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikan impian tersebut.

“Kelab ini akan terus berusaha untuk mencapai lebih kejayaan, dan kami memerlukan sokongan daripada semua di dalam Keluarga JDT, pengurusan, barisan kejurulatihan, para pemain, staf dan penyokong untuk menyempurnakan musim ini dengan lebih bergaya.

“Kita telah pun memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya, termasuk JDT III memenangi Piala Presiden (B-21) buat pertama kalinya. JDT II pula boleh dinobatkan sebagai juara Liga Premier Jumaat ini.

“Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula kini dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. A triple hattrick! Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab.

Dalam pada itu, TMJ turut mengingatkan pasukannya agar tidak terbuai-buai dengan kejayaan diraih kelab memandangkan masih ada lima lagi perlawanan untuk diharungi sebelum mampu menoktahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan.

“Kami memerlukan setiap sokongan daripada penyokong dan seluruh Keluarga JDT dalam baki perlawanan untuk mencapai matlamat kami iaitu ‘triple hattrick’.

“Jumpa anda semua di perlawanan ‘home’ akan datang, Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah,” ujarnya.