2026 ASEAN K-Halal Food Fair curi tumpuan dengan budaya Korea

2026 ASEAN K-Halal Food Fair curi tumpuan dengan budaya Korea

PETALING JAYA – Suasana meriah dan penuh warna-warni mewarnai pusat beli-belah 1 Utama apabila 2026 ASEAN K-Halal Food Fair anjuran Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation berjaya menghimpunkan puluhan ribu pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, sekali gus membuktikan pengaruh makanan halal Korea dan budaya K-culture yang semakin berkembang di Malaysia.

Acara berskala besar itu bukan sahaja menjadi destinasi pilihan keluarga dan peminat budaya Korea, malah turut berfungsi sebagai platform penting yang menghubungkan pemain industri, badan pengawal selia serta pengguna di bawah satu ekosistem K-Halal yang lebih tersusun dan diyakini.

2026 ASEAN K-Halal Food Fair telah menawarkan pengunjung peluang untuk meneroka pelbagai produk makanan halal Korea menerusi sesi pensampelan produk dan promosi eksklusif bersama Jaya Grocer.

2026 ASEAN K-Halal Food Fair telah menawarkan pengunjung peluang untuk meneroka pelbagai produk makanan halal Korea menerusi sesi pensampelan produk dan promosi eksklusif bersama Jaya Grocer.

Penganjuran kali ini tampil lebih istimewa menerusi kerjasama berskala besar pertama bersama Jaya Grocer yang menampilkan zon jualan khas makanan halal Korea, mengetengahkan pelbagai produk halal diperakui dari Korea Selatan kepada pengguna tempatan.

Sepanjang acara berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai pengalaman interaktif termasuk sesi merasa makanan, aktiviti K-Food MBTI, permainan tradisional Korea, demonstrasi budaya serta persembahan Taekwondo dan tarian K-pop yang menceriakan suasana.

Kanak-kanak dan golongan belia dilihat antara paling teruja menyertai aktiviti yang disediakan, sekali gus menjadikan pesta itu sebagai acara santai dan mesra keluarga.

Selain menampilkan sisi gaya hidup dan hiburan, 2026 ASEAN K-Halal Food Fair turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama industri antara Malaysia dan Korea Selatan.

Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho berkata, sambutan luar biasa sepanjang penganjuran acara itu mencerminkan minat rakyat Malaysia yang semakin meningkat terhadap makanan halal Korea dan budaya Korea.

Menurutnya, platform berkenaan berjaya menghubungkan pemain industri dan pengguna menerusi pengalaman makanan, hiburan dan pertukaran budaya yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Sambutan menggalakkan dan penyertaan penuh semangat sepanjang 2026 ASEAN K-Halal Food Fair mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap makanan halal Korea dan budaya K-culture dalam kalangan pengguna Malaysia.

“Melalui acara ini, kami mahu menyediakan platform interaktif yang menghimpunkan pemain industri dan pengguna menerusi makanan, hiburan dan pengalaman budaya,” katanya.

[Dari kiri] Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng; Pengerusi Kumpulan KMT, Datuk Matthew Lee; Pengerusi Pusat Beli-belah 1 Utama, Tan Sri Teo Chiang Kok; Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, TYT Yeo Seung-bae; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin; Pengarah Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT), Chang Chung Ho; Pengarah Urusan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) Pejabat Kuala Lumpur, Shin Ju-hyun; serta Durian Kimchi selaku Duta K-Food merasmikan 2026 ASEAN K-Halal Food Fair di Pusat Beli-belah 1 Utama.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan termasuk Duta Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae; Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin; Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng serta Pengarah Korea Tourism Organisation Malaysia, Shin Junghun.

Dalam perkembangan sama, acara berkenaan turut menyaksikan pelantikan ASEAN K-Food Ambassador menampilkan pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, sekali gus menjadi simbolik penting dalam memperkukuh promosi K-Food di peringkat ASEAN.

Sebelum penganjuran acara 2026 ASEAN K-Halal Food Fair, satu program B2B telah diadakan di One World Hotel pada 18 hingga 19 Mei bagi menghimpunkan pemain industri dan memperkukuh kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.

Pengeksport Korea berinteraksi dengan pengimport tempatan serta pembeli dari seluruh rantau ASEAN semasa sesi jaringan B2B bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh kerjasama perdagangan.

Pengeksport Korea berinteraksi dengan pengimport tempatan serta pembeli dari seluruh rantau ASEAN semasa sesi jaringan B2B bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh kerjasama perdagangan.

Acara itu turut menampilkan seminar dua hala antara kerajaan Korea dan Malaysia yang dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kedutaan Korea, aT Center, IP Center, peruncit tempatan, pengimport serta pengeksport Korea.

Perbincangan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan ketelusan dalam pelabelan asal-usul makanan, memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk halal import serta membangunkan ekosistem pengedaran makanan K-Halal yang lebih dipercayai dan mampan di Malaysia.

Dengan gabungan elemen makanan, budaya, hiburan dan kerjasama industri, 2026 ASEAN K-Halal Food Fair berjaya membuktikan bahawa makanan halal Korea bukan sahaja semakin diterima pengguna tempatan, malah berpotensi menjadi jambatan hubungan budaya dan ekonomi yang lebih kukuh antara Malaysia dan Korea Selatan.

Scroll to Top