Rawatan mampu elak tindakan agresif

Rawatan mampu elak tindakan agresif

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Serdang: Risiko pesakit mental mencederakan orang lain dilihat agak rendah sekiranya dikawal dan mendapat rawatan sewajarnya secara konsisten.

Pegawai Psikologi Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Norezzati Md Hanafiah berkata, terdapat keadaan pesakit mental boleh bertindak agresif.

“Dalam keadaan tertentu, mereka lebih cenderung mencederakan diri sendiri berbanding mencederakan orang lain.

“Tindakan itu mungkin disebabkan pesakit tidak diberikan rawatan yang betul meskipun mereka sudah ada simptom awal kesihatan mental,” katanya ketika ditemui di HSAAS, baru-baru ini.

Norezzati berkata, terdapat tiga jenis saringan awal bagi kesihatan mental iaitu kemurungan, kerisauan dan stres.

“Ada beza antara penyakit mental dengan isu kesihatan mental. Tidak semestinya ada simptom kesihatan mental, individu itu mempunyai penyakit mental.

“Lazimnya, penyakit mental mempunyai simptom dalam tempoh masa yang lama. Simptom itu kemudian menjadi penyakit yang menyebabkan pesakit tidak boleh menjalankan fungsi hidup seperti biasa.

“Berbeza dengan isu kesihatan mental, pesakit mental tidak boleh menjalankan rutin harian termasuk membabitkan masa tidur, pekerjaan atau pemakanan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan individu mengidap penyakit mental iaitu genetik serta penyalahgunaan bahan terlarang selain tekanan.

“Ada beberapa penyakit mental termasuk skizofrenia yang dilihat sebagai antara penyakit berisiko menyebabkan pesakit menjadi agresif.

“Skizofrenia adalah penyakit mental yang mempunyai simptom halusinasi dan ilusi.

“Mereka ada mendengar suara dan mempunyai kepercayaan yang tidak logik.

“Pesakit skizofrenia dilihat antara yang berbahaya kerana simptom dialami boleh mendatangkan risiko keselamatan bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, masyarakat dan ahli keluarga memainkan peranan penting terutama dari segi penerimaan serta rawatan pesakit mental.

“Dalam keadaan emosi yang tidak terkawal dan stabil, pesakit mental lebih cepat menjadi agresif sekali gus mengundang risiko bahaya kepada insan terdekat mereka.

“Disebabkan itu, ahli keluarga perlu segera mendapatkan bantuan profesional bagi pesakit mental supaya mereka boleh mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya.

Katanya, bagi pesakit mental yang tinggal di rumah, ahli keluarga mereka perlu memberi sokongan dari segi emosi dengan mengambil berat terhadap individu terbabit.

“Tidak dinafikan menguruskan pesakit mental menuntut kesabaran yang amat tinggi dengan pelbagai kerenah mereka terutama ketika mereka bertindak di luar kawalan.

“Namun pada masa sama, teruskan menjaga pesakit termasuk memastikan mereka sentiasa makan ubat dan cakna dengan temu janji mereka di hospital.

“Apabila mereka makan ubat mengikut masa ditetapkan serta menjalani rawatan secara konsisten di hospital, ia dapat mengelakkan mereka daripada bertindak di luar kawalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top