21 jemaah Malaysia ditaja Raja Salman tunai haji

21 jemaah Malaysia ditaja Raja Salman tunai haji

SEPANG – Seramai 21 rakyat Malaysia terpilih menyertai Program Tetamu Raja Arab Saudi 2026 atau Khadimul Haramain bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Program tahunan anjuran Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi itu ditaja sepenuhnya menerusi peruntukan peribadi Raja Salman, meliputi kos penginapan, tiket penerbangan, makan minum serta perbelanjaan di Masya’ir Haram.

Ketua Delegasi Tetamu Haji Raja Salman, Datuk Wira Ahmad Tajuddin Idris berkata, Malaysia merupakan antara negara yang konsisten menerima jemputan tersebut setiap tahun.

Menurut beliau, pemilihan jemaah Malaysia dibuat menerusi kerjasama Atase Agama Kedutaan Arab Saudi berdasarkan sumbangan individu terhadap Islam, dakwah, masyarakat dan negara.

“Alhamdulillah pada malam ini kita akan berangkat ke Jeddah dan terus masuk Mekah, lepas habis tunaikan haji kita ke Madinah sekejap sebelum pulang tanah air. Kami akan berada di sana lebih kurang 14 hari bermula 19 Mei hingga 2 Jun.

“Jumlah peserta tahun ini seramai 21 orang, hampir sama seperti tahun lalu namun, kami berharap jumlah itu dapat ditambah pada masa akan datang, Insya-ALLAH. Kalau tidak silap, beberapa tahun lalu Malaysia pernah menerima tajaan sehingga 60 peserta.

“Jadi, kita doakan agar kemurahan hati Raja Salman membolehkan lebih ramai individu yang berjasa kepada Islam, dakwah dan negara diberi peluang menunaikan haji melalui program ini,” katanya ketika ditemui pada Pelepasan Jemaah Haji Tetamu Raja Salman di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Turut hadir, Mursyid Delegasi Tetamu Haji Raja Salman, Dr Fadlan Mohd Othman.

Sementara itu, peserta delegasi yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana menjemput beliau dan isteri menunaikan haji pada tahun ini.

Menurutnya, jemputan tersebut mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Kita mempunyai ramai mahasiswa dari Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di UTM dan mereka disantuni dengan baik.

“Saya berharap hubungan ini akan terus memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.

“Saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, khususnya Raja Salman,” katanya.

 

 

Scroll to Top