
Mereka mendakwa bapa bersifat ganas kepada ibu. Foto Agensi
JAKARTA – Tindakan tiga beradik di Kabupaten Malaka, Nusa Tenggara Timur yang dipercayai membunuh dan menanam mayat bapa kandung sendiri di kawasan sungai kering menggemparkan Indonesia.
Kejadian itu terbongkar selepas penduduk menemukan tengkorak kepala dan rangka manusia di kawasan sungai kering di Dusun Aitiris B, Desa Meotroi, Daerah Laenmanen sebelum laporan dibuat kepada polis.
Mangsa dikenali sebagai AN, 47, seorang petani tempatan.
Ketua Polis Malaka, Riki Ganjar Gumilar berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga suspek iaitu YDA, 27, ADN, 18, dan AN, 17.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek merupakan anak kandung mangsa sendiri.
“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa sakit hati kerana mangsa didakwa sering memaki hamun serta melakukan keganasan terhadap isterinya yang juga ibu kepada suspek,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata, dua suspek dewasa dipercayai melakukan serangan sehingga menyebabkan mangsa maut, manakala suspek bawah umur membantu menggali lubang dan menanam mayat mangsa di lokasi kejadian.
Katanya, rangka mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Nurobo untuk pemeriksaan perubatan dan proses bedah siasat.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dewasa kini ditahan di Penjara Tahanan Polis Malaka, manakala suspek berusia 17 tahun masih menjalani proses siasatan mengikut prosedur perlindungan kanak-kanak.
Kes disiasat mengikut Pasal 458 Ayat (1) dan (2) Juncto Pasal 20 Huruf c Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kes bunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.-Agensi
Tambah beliau, polis masih meneruskan siasatan termasuk melengkapkan bukti dan meneliti peranan setiap suspek dalam kejadian berkenaan. – Agensi



