LONDON: Arsenal semakin hamper untuk mejulang kejuaraaan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Burnley 1-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Kai Havertz muncul wira apabila meledak gol menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Bukayo Saka sebelum rehat bagi memastikan The Gunners semakin hampir menjulang trofi liga.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal mengumpul 82 mata daripada 37 perlawanan, lima mata di depan Manchester City yang bermain 36 perlawanan.
Skuad kendalian Mikel Arteta akan disahkan sebagai juara sekiranya City gagal menewaskan Bournemouth dalam aksi awal pagi esok.
Jika City menang dan perebutan dibawa ke perlawanan terakhir, Arsenal hanya perlu menewaskan Crystal Palace pada Ahad ini untuk memastikan kejuaraan.
Suasana di utara London sudah pun meriah sebelum sepak mula apabila ribuan penyokong menyambut ketibaan bas pasukan Arsenal dengan lautan suar merah di luar stadium.
Namun Burnley yang sudah tersingkir tidak memberi laluan mudah apabila bermula agresif dan hampir mengejutkan tuan rumah menerusi beberapa serangan balas pantas.
Arsenal kemudian mula menguasai permainan dengan Eberechi Eze hampir membuka jaringan sebelum Saka dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti.
Gol kemenangan akhirnya hadir menerusi situasi bola mati apabila Saka melakukan hantaran tepat dari sepakan penjuru sebelum Havertz menanduk masuk dari jarak dekat.
Selepas rehat, Arsenal gagal menambah jaringan walaupun mencipta beberapa peluang terbaik, manakala Burnley terus memberi ancaman menerusi serangan balas.
Havertz turut bernasib baik apabila hanya dilayangkan kad kuning selepas terjahan keras terhadap Lesley Ugochukwu diteliti VAR untuk kemungkinan kad merah.
Arsenal akhirnya bertahan sehingga wisel penamat sebelum pemain melakukan pusingan penghargaan bersama penyokong yang kini berharap Bournemouth mampu menghalang City dalam aksi berikutnya.- AGENSI




