Soon Huat-Shevon lolos, ujian getir menanti

Soon Huat-Shevon lolos, ujian getir menanti

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Denmark, hari ini.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-15, 21-13 dalam aksi pusingan pertama di Arena SJF Bank, sekali gus meneruskan penguasaan ke atas lawan di ranking ke-43 dunia itu dengan kemenangan kelima berturut-turut tahun ini.

Soon Huat berkata, mereka sudah mengenali corak permainan lawan selepas beberapa kali bertemu musim ini.

“Namun, kami tetap melakukan persiapan rapi dengan memberikan penekanan kepada rentak permainan dan kelajuan bulu tangkis bagi memanfaatkan peluang menyerang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Shevon pula berkata, perubahan yang dilakukan lawan tidak begitu ketara, namun pasangan negara berjaya menyesuaikan permainan apabila Chen-Corbett cuba lebih agresif di bahagian depan gelanggang dan memaksa mereka bertahan.

“Kami tidak melihat banyak perubahan dalam permainan mereka. Cuma, mereka cuba bermain lebih di bahagian depan gelanggang dan memaksa kami berada dalam posisi bertahan.

“Kami berjaya menyesuaikan diri dan mengambil kesempatan untuk menguasai semula permainan di depan,” katanya.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti Soon Huat-Shevon apabila dijadual berdepan pasangan nombor tiga dunia dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, pada pusingan kedua, esok.

Walaupun Soon Huat-Shevon memenangi dua pertemuan terdahulu pada 2023 dan 2024, lawan mereka kini berada pada tahap berbeza selepas meraih tiga gelaran Jelajah Dunia musim ini menerusi Terbuka Thailand, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Shevon mengakui jadual pertandingan yang padat selepas mengharungi saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 turut menguji kecergasan mereka, namun menegaskan mereka tidak mahu menjadikan faktor itu sebagai alasan.

“Memang agak sukar kerana tiada rehat antara kejohanan, Sukan Asia dan sekarang di sini. Tetapi kami tidak mahu menjadikan itu alasan kerana pemain lain turut melalui situasi sama. Kami perlu bijak mengawal rentak dan menjaga keadaan fizikal,” katanya.

Menurut Shevon, aspek mental juga memainkan peranan penting untuk mengekalkan konsistensi ketika berdepan jadual pertandingan yang padat, selain memastikan mereka dapat menamatkan setiap kejohanan tanpa kecederaan.

“Bagi kami, perkara paling penting ialah menamatkan setiap kejohanan tanpa kecederaan. Kami mahu bermain badminton dengan baik dan menikmati permainan. Menang atau kalah, atau sejauh mana kami pergi, itu perkara kedua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top