redzuan.muharam@hmetro.com.my
Tangkak: Penutupan sekolah akibat jerebu bukan halangan untuk Mohammad Alif Rahman atau Cikgu Alif mengajar dan membimbing anak didiknya yang terdiri dalam kalangan murid Pemulihan Khas.
Sebaliknya, Cikgu Alif, 40, iaitu guru Pemulihan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mas, di sini mengambil inisiatif ke rumah 15 muridnya walaupun menetap di Jasin, Melaka.
Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Cikgu Alif berkongsi video di media sosial baru-baru ini yang menunjukkannya mengendalikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah murid.
Berkongsi kisah itu, Cikgu Alif berkata, apa dilakukannya bukan sesuatu yang asing baginya kerana pernah melakukan inisiatif sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya percaya, setiap guru ada cara dan pendekatan mereka dalam mendidik anak murid ketika musim jerebu ini atau sewaktu penutupan sekolah.
“Tapi saya pilih pendekatan ini kerana kenal anak murid dah rapat dengan keluarga mereka… mereka tinggal di dalam kampung jadi sukar mendapatkan akses Internet jika buat kelas secara dalam talian.
“Jadi, biarlah saya yang datang ke rumah mereka bagi memudahkan proses PdPR dan memastikan mereka tidak ketinggalan,” katanya kepada Harian Metro.
Cikgu Alif berkata, apa dilakukannya itu sudah mendapat kebenaran daripada pihak pentadbir iaitu guru besar sekolah, Aizah Ghazali yang banyak memberi inspirasi kepadanya.
Menurut Cikgu Alif, dia juga sudah berhubung dengan ibu bapa murid sebelum datang ke rumah bagi mendapat persetujuan dan rata-ratanya menyambut baik usahanya.
“Saya sudah maklumkan inisiatif ini kepada emak ayah murid pada Jumaat lalu sebelum mulakan inisiatif minggu ini.
“Sebelum datang, saya akan maklumkan kepada mereka dan luangkan masa dalam 15 minit di setiap rumah.
“Ikut kelapangan mereka juga kerana jika tak dapat datang pada sebelah pagi, saya akan hadir sebelah petang.
“Saya faham privasi keluarga jadi kebiasaannya, akan minta mengajar murid di luar rumah saja tapi ada ibu bapa sediakan tempat. Hakikatnya, saya bukan datang untuk makan atau minum tapi ikhlas membantu murid,” katanya yang juga bapa kepada empat cahaya mata.
Menurut Cikgu Alif, apa dilakukannya itu memberi kepuasan buatnya malah kunjungan ke rumah murid sebagai pendekatan terbaik buat anak didiknya.
“Ini ikhtiar saya buat anak didik dan esok pun akan masuk ke perkampungan Orang Asli untuk berjumpa dan mengajar mereka secara bersemuka.
“Diharap tiada pihak yang salah faham kerana bukan niat saya untuk menunjuk jauh sekali anggap diri ini lebih baik.
“Lagipun, jika bukan waktu jerebu, saya selalu ke rumah murid, ajak mereka keluar makan dan pernah pergi buka puasa bersama.
“Cuma apa yang saya kongsikan baru-baru ini adalah rutin mengajar dalam tempoh sekarang dan cebisan perjuangan sebagai guru Pemulihan Khas yang mungkin tak ramai nampak,” katanya yang pernah merangkul Anugerah Guru Inspirasi Daerah Tangkak pada tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




