2,200 penguat kuasa JPJ terbabit Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

2,200 penguat kuasa JPJ terbabit Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Empat teras utama mendasari Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2022, yang diadakan bermula Selasa lalu hingga 8 Februari ini.

Ia membabitkan pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata mengekalkan tema sama iaitu Pandu Cermat, Sampai Selamat, kempen dan Ops Bersepadu itu membabitkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi lain seperti syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, Ops Bersepadu itu membabitkan 2,200 anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negara.

“Antara inisiatif dilaksanakan JPJ adalah mengadakan kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” katanya pada sidang media Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2022, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Ketua Setiausaha Dasar kementerian, Normah Osman dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

Pemeriksaan juga diadakan di 75 depoh dan 28 terminal bas utama bertujuan memastikan kenderaan terbabit layak berada di jalan raya.

Ka Siong berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas musim perayaan iaitu pada 30 dan 31 Januari serta 3 dan 4 Februari.

Katanya, larangan itu bertujuan mengelak berlaku sebarang risiko nahas di jalan raya akibat percampuran trafik di atas jalan raya dan lebuh raya membabitkan kenderaan berat dengan ringan, selain mengelak kesesakan lalu lintas.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 bertujuan menjadikan Malaysia negara sifar kematian akibat nahas jalan raya bagi meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi kebajikan semua pengguna jalan raya di negara ini.

“Kita serius mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030 berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 31 Ogos 2020,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top