am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebanyak 2,132 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM90.21 bilion sepanjang 2023 hingga Jun lalu.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata, berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 1,311 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM55.24 bilion sepanjang 2023.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, 821 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sudah diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM34.97 bilion.
“Sebanyak 20,241 potensi peluang pekerjaan terhasil daripada kelulusan bagi projek pelaburan dalam sektor pembuatan.
“Sebanyak 43,671 potensi peluang pekerjaan pula terhasil daripada kelulusan projek pelaburan dalam sektor perkhidmatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ahmad Kassim (PH-Kota Damansara) dan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) berkaitan pelaburan dalam negeri.
Sze Han berkata, Selangor mensasarkan pelaburan berjumlah RM50 bilion pada tahun ini dengan RM15 bilion dalam sektor pembuatan dan RM35 bilion lagi melalui sektor perkhidmatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




