Pasaran saham global capai paras tertinggi, Bursa Malaysia melonjak

Pasaran saham global capai paras tertinggi, Bursa Malaysia melonjak

PETALING JAYA: Pasaran saham global melonjak pada Rabu, susulan pengukuhan saham teknologi di Wall Street ke paras tertinggi, tatkala perkembangan positif untuk pembukaan Selat Hormuz yang menyaksikan penyusutan harga minyak di bawah AS$80 (RM327.34) setong.

Dow Jones, S&P 500 dan STOXX Europe 600 mencapai rekod tertinggi semasa dagangan pada Selasa.

Sementara itu, Nikkei 225 dan KOPSI Korea Selatan masing-masing meningkat 3.66 peratus dan 3.76 peratus kepada 66,300.44 dan 6,598.26 pada sesi dagangan akhir semalam.

Pasaran saham tempatan, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) pula ditutup tinggi 15.51 mata kepada 1,748.17 pada 5 petang semalam, berbanding 1,732.66 pada Selasa.

Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent diniagakan pada AS$80.17 (RM328.22) setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) pada AS$76.06 (RM311.40) setong.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, pemacu utama kenaikan pasaran saham global ketika ini ialah sentimen positif terhadap rundingan damai antara Presiden AS, Donald Trump dengan Iran. 

Katanya, keputusan Trump untuk tidak meneruskan rancangan menyerang kemudahan minyak Iran telah meredakan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik yang lebih besar, yang sebelum ini berpotensi mencetuskan senario paling buruk kepada ekonomi dan pasaran kewangan dunia.

“Perkembangan yang paling dinantikan pasaran ialah pembukaan semula Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan penting bagi bekalan minyak dunia. Penyusutan harga minyak menunjukkan pasaran telah meletakkan premium risiko geopolitik yang tinggi dalam harga minyak. 

“Apabila ketegangan mula reda, premium risiko itu turut susut dengan cepat, sekali gus menyebabkan harga minyak merosot,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, penurunan harga minyak turut meningkatkan keyakinan pelabur kerana ia mengurangkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan keadaan masih tidak menentu memandangkan Trump merupakan seorang pemimpin yang sukar dijangka. 

“Selagi gencatan senjata kekal atau perjanjian damai yang menyeluruh belum dimuktamadkan, sentimen positif itu masih rapuh dan boleh berubah pada bila-bila masa. Sekiranya rundingan gagal, risiko peningkatan semula konflik geopolitik tetap wujud.

“Buat masa ini, sentimen pasaran adalah lebih positif dan pelabur kembali bersedia mengambil risiko, sekali gus membantu menstabilkan pasaran ekuiti,” ujarnya.

Mengulas mengenai Bursa Malaysia, beliau berkata, prestasi pasaran tempatan berkait rapat dengan prospek ekonomi negara. 

“Sentimen global yang lebih baik dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya kerana negara merupakan ekonomi yang berorientasikan eksport. Keadaan itu akan memberikan asas yang lebih kukuh kepada prestasi pasaran saham tempatan.

“Bursa Malaysia bergerak seiring dengan pemulihan pasaran serantau apabila pelabur kembali meningkatkan pegangan dalam ekuiti berikutan selera risiko yang semakin pulih. 

“Dalam persekitaran yang lebih positif, pengurus dana lazimnya akan menambah pendedahan kepada pasaran saham bagi meningkatkan pulangan portfolio mereka, di samping berlakunya pengalihan sebahagian aliran dana ke pasaran serantau termasuk Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top