Berada di atas keimanan sejati, ketakwaan berterusan

Berada di atas keimanan sejati, ketakwaan  berterusan

DALAM masyarakat Islam, istilah wali Allah sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi. Ada yang menganggap mereka insan yang memiliki karamah luar biasa manakala sebahagian yang lain pula begitu mudah menolak kewujudan golongan ini.

Sedangkan al-Quran dan al-Sunah menjelaskan bahawa para wali Allah benar-benar wujud, namun hakikat kewalian mereka rahsia yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 62-63 memberi penegasan yang cukup jelas: “Ketahuilah, sesungguhnya wali Allah itu tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak pula berdukacita. Mereka ialah orang yang beriman serta sentiasa bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan bahawa asas kewalian bukanlah keajaiban yang dipamerkan, sebaliknya dibina di atas keimanan yang benar dan ketakwaan berterusan.

Oleh itu, para ulama sentiasa mengingatkan agar umat Islam tidak terlalu ghairah mencari siapakah wali Allah. Imam al-Ghazali pernah menggambarkan bahawa menemukan seorang pembimbing rohani yang benar-benar mencapai darjat kewalian amat sukar. Kenyataan ini mengajar kita bahawa kedudukan itu bukan sesuatu yang boleh dikenal pasti hanya melalui penampilan, pakaian atau dakwaan seseorang.

Hakikat ini turut diperkuatkan oleh hadis Qudsi yang menyatakan bahawa para wali Allah berada di bawah naungan-Nya dan hanya dikenali oleh mereka yang dikurniakan taufik daripada Allah. Abu Yazid al-Bustami pula mengungkapkan para wali ibarat ‘pengantin Allah di bumi’ yang tidak mampu dikenali melainkan oleh orang yang memiliki pandangan rohani yang bersih. Sahl ibn Abdullah al-Tustari turut menjelaskan bahawa Allah memperkenalkan wali-Nya kepada mereka yang bakal mendapat manfaat daripada bimbingan mereka.

Walaupun identiti mereka dirahsiakan, Rasulullah SAW tidak membiarkan umatnya tanpa panduan. Baginda menjelaskan beberapa sifat yang menjadi petunjuk kepada kemuliaan seseorang. Antaranya ialah sabda baginda apabila ditanya tentang siapakah wali Allah. Baginda menjawab bahawa mereka ialah golongan yang apabila dipandang, hati akan mengingati Allah. Ertinya, kewujudan mereka bukan mengajak manusia mengagungkan peribadi mereka, tetapi membimbing hati supaya lebih hampir kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW juga menggambarkan bahawa ramai dalam kalangan wali Allah menjalani kehidupan yang sederhana. Mereka tidak mengejar kemasyhuran, tidak mencari pujian manusia dan tidak berbangga dengan amal ibadah mereka. Bahkan, jika mereka tidak hadir, tiada siapa mencarinya, dan apabila mereka hadir, ramai yang tidak mengenali kedudukan mereka. Namun, di sisi Allah, mereka insan yang amat dikasihi.

Selain itu, baginda SAW menyebut bahawa antara sifat yang menghampirkan seseorang kepada darjat kewalian ialah mampu mengawal kemarahan, memiliki sifat warak serta sentiasa berakhlak mulia terhadap manusia. Ketiga-tiga sifat ini menjadi ukuran sebenar kematangan rohani. Semakin seseorang berjaya menundukkan hawa nafsunya, semakin hampir dirinya kepada keredaan Allah.

Para ulama tasawuf turut menegaskan bahawa jalan menuju kewalian bukanlah melalui dakwaan atau kemasyhuran, sebaliknya melalui mujahadah yang berterusan. Mereka memperbanyakkan zikir, menjaga solat, memelihara hati daripada sifat riyak, hasad dan takabbur serta sentiasa meletakkan Allah sebagai tujuan utama kehidupan. Sebab itulah ramai wali Allah hidup dalam keadaan yang tidak dikenali masyarakat, namun terkenal di langit.

Hakikat ini juga mengajar kita supaya tidak mudah menilai seseorang berdasarkan pandangan zahir. Boleh jadi seorang yang dipandang biasa oleh manusia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sebaliknya, seseorang yang dipuja kerana kehebatan zahirnya belum tentu tergolong dalam kalangan hamba pilihan Allah. Ukuran sebenar tetap kembali kepada ilmu, iman, takwa dan keikhlasan yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Ungkapan masyhur dalam kalangan ahli tasawuf yang berbunyi, ‘hanya wali mengenal wali’ sebenarnya mendidik umat Islam agar sentiasa bersikap tawaduk terhadap rahsia Allah. Daripada sibuk meneka siapakah wali Allah, lebih baik kita berusaha menghiasi diri dengan sifat yang dicintai-Nya. Mudah-mudahan dengan memperkukuhkan iman, meningkatkan ketakwaan dan memperelokkan akhlak, kita tergolong dalam kalangan hamba yang mendapat naungan rahmat Allah di dunia dan akhirat. Wallahu aklam.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top