2,474 bekas ahli GISBH jalani pemulihan akidah hingga Ogos

2,474 bekas ahli GISBH jalani pemulihan akidah hingga Ogos

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan program pemulihan khas ke atas 2,474 bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH) sehingga Ogos depan.

Pemulihan akidah menerusi program Insan Rabbani itu melibatkan seramai 1,064 individu dewasa dan 1,410 kanak-kanak yang meliputi fasa pemulihan, pemantapan dan pengukuhan yang dijalankan selama enam bulan.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, program sejak 15 Februari lalu itu sedang giat dilaksanakan dengan memfokuskan proses pemulihan kepada bekas ahli GISBH menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Program itu turut disusuli dengan pemantauan menerusi fasa pasca pemulihan, pemantauan dan khidmat sokongan.

“Sehingga kini, MAIS melaksanakan program pemulihan akidah bagi kanak-kanak GISBH dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada September hingga Disember tahun lalu,” katanya pada majlis ramah mesra Program Insan Rabbani, hari ini.

Tambah Salehuddin, pihaknya berharap program pemulihan itu memberi ruang kepada ahli GISBH untuk bertaubat secara sukarela dan memulihkan akidah daripada fahaman yang menyeleweng.

“Selain itu, kami bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menganjurkan Program Rehabilitasi Secara Sukarela Ahli GISBH yang melibatkan seramai tujuh peserta dari Selangor dan 11 dari Johor pada 7 November tahun lalu hingga 4 Februari lalu,” ujarnya.

Pada majlis itu, MAIS turut menyampaikan simbolik serahan bantuan fidyah 350 kotak makanan kering bernilai RM77,700 kepada penerima antaranya SRA Bandar Country Homes; SRA Sijangkang dan SRA Sungai Kantan. – UTUSAN

Scroll to Top