am@hmetro.com.my
Seremban: DAP Negeri Sembilan menyatakan akan terus memberi sokongan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun untuk menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat sekali lagi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sepanjang lapan tahun mengemudi Negeri Sembilan, Aminuddin dianggap mempunyai rekod bersih kerana tidak pernah terpalit dengan isu integriti.
“Kita (DAP) sokong Tok Min sebagai menteri besar. Malam ini kita isytiharkan kekalkan 11 kerusi ini, ADUN daripada DAP akan menyokong Datuk Seri Aminuddin sebagai Menteri Besar,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.
Anthony dalam pada sama turut menyatakan agak terkejut dengan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang selang tiga minggu berbanding PRN Johor.
Menurutnya, pengumuman yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak seperti yang dijangka meskipun PH menjadi kerajaan di peringkat persekutuan sekali gus membuktikan institusi itu bebas daripada campur tangan kerajaan pusat.
“Johor bubar 1 Jun, Negeri Sembilan bubar malam 4 Jun, tapi hari ini SPR umum tarikh pilihan raya selang tiga minggu. Kita bubar selang tiga hari, pilihan raya selang tiga minggu.
“Kalau ikut harapan kita, sudah tentu kita nak pilihan raya serentak antara Negeri Sembilan dengan Johor. Buatlah pilihan raya pada hari yang sama.
“Saya tahu ramai akan tertanya-tanya mengapa SPR buat keputusan begitu. Kita pun tak tahu. Saya yakin perdana menteri pun tak tahu.
“Sebab hari ini kita ada perdana menteri yang memberikan kebebasan kepada SPR. Tak campur tangan dalam SPR.
“Kita memberikan kebebasan kepada institusi walaupun bukan mengikut kehendak parti yang jadi pemerintah di Putrajaya, tetapi inilah yang kita lihat pada hari ini, mereka bebas laksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




