25,000 rumah untuk anggota, pesara tentera

25,000 rumah untuk anggota, pesara tentera

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan merancang membina 25,000 unit rumah untuk didiami anggota dan pesara tentera menerusi Program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) menjelang 2030.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peringkat pertama program itu membabitkan 3,500 unit rumah jenis pangsapuri akan dibina di Sungai Besi, di sini.

“Sebanyak 7,000 unit lagi akan dibina di dua lokasi di ibu negara termasuk di Kem Wardieburn, Genting Klang.

“Program SASaR di Sungai Besi yang mempunyai tiga kategori keluasan akan menempatkan seramai 3,000 anggota serta 500 golongan veteran tentera dan orang awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) Satria Residensi, di Kem Transmitter, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tujuan Program SASaR dilaksanakan kerana kementerian melihat ramai anggota tentera masih lagi tidak mempunyai rumah walaupun sudah bersara.

“Saya sendiri lihat ramai anggota tentera tidak memiliki rumah selepas bersara kerana rumah yang ada berharga mahal dan akhirnya mereka akan menyewa sampai bila-bila.

“Melalui program ini, mereka mempunyai peluang mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga mereka dengan harga berpatutan iaitu serendah RM150,000 bagi keluasan 1,000 kaki persegi (93 meter persegi), RM199,000 bagi 1,100 kaki persegi (102 meter persegi) dan RM250,000 bagi 1,200 kaki persegi (111 meter persegi),” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, kementerian juga akan membeli sebanyak 2,000 unit rumah siap di Bukit Jalil untuk dijadikan kuarters tentera.

“Ini adalah konsep baharu untuk kemudahan anggota tentera kerana kita tidak mahu berlaku projek kuarters lambat siap atau tidak siap kerana ia boleh memberi kesan kepada jadual perpindahan anggota.

“Kita akan beli sebanyak 2,000 unit rumah daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk dijadikan kuarters,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top