Zairi Aziz tolak watak lelaki lembut, mahu fokus watak aksi

Zairi Aziz tolak watak lelaki lembut, mahu fokus watak aksi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Zairi Aziz, 24, memaklumkan tidak bersedia untuk membawa watak ‘lelaki lembut’ kerana mahu memegang karekter lain yang memiliki cabaran tersendiri bagi mendapatkan pengalaman sebagai bakat baru.

Adik kepada pelakon Nasha Aziz ini berkata, buat masa ini dia terbuka mencuba watak yang dirasakan sesuai untuk dirinya dan boleh dibawa dengan baik hasil bimbingan pangarah dan juga rakan pelakon lain.

“Kalau watak lelaki lembut yang mungkin sedia diterima oleh pelakon lain, itu pilihan masing-masing. Untuk saya tidak ambil (watak lelaki lembut) kot sebab saya ada alasan sendiri. Saya lebih teringin watak ‘fighting’.

“Ini kerana saya mahu menjadi pengganti atau pelapis dalam industri hiburan dengan membawa watak-watak aksi. Apa pun, saya kena tengok dulu jalan cerita naskhah itu sesuai atau tidak sebelum terima,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, hampir tiga tahun aktif dalam karier lakonan, dia belum pernah menerima tawaran watak lelaki lembut kerana belum bersedia.

“Saya seorang yang suka meneliti mesej cuba disampaikan oleh setiap watak ditawarkan itu. Maka, saya memang melihat kepada jalan cerita kerana bagi saya setiap karekter dilakonkan ada cabarannya tersendiri.

“Kalau ada watak yang perlu saya elak, lebih baik dielak kerana mungkin ia sesuai untuk orang lain. Apatah lagi, pembabitan saya pun masih baharu dalam bidang lakonan dan banyak kena belajar dan timba pengalaman lagi,” katanya.

Mula dikenali menerusi teater Samaya – Puteri Laut Selatan menerusi watak utama, Bima yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 2024, Zairi mengakui dia berpuas hati kerana dapat melakukan aksi silat.

“Begitu juga lakonan saya dalam drama Anak-Anak Mafia di platform Tonton dan drama Bila Cinta Menjadi Dosa untuk slot Lestary TV3, saya puas dengan kepercayaan watak diberikan, begitu juga filem Banduan.

“Walaupun watak saya kecil dalam filem Banduan, tetapi impak jalan ceritanya besar dan penonton un boleh terima. Jadi, saya inginkan naskhah-naskhah yang baik dan bagus seperti ini.

“Macam saya katakan, mahu mencuba, belajar dan timba pengalaman. Ini kerana saya percaya mampu berdiri atas kaki sendiri membina bakat dan nama hasil daripada peluang-peluang berlakon yang diterima,” katanya.

Terbaharu, Zairi bakal muncul dalam filem The Real Mamu yang mengisahkan komuniti masyarakat di Pulau Pinang dengan barisan pelakon seperti Saiful Apek, Didie Alias, Nur Risteena, Wan Raja, Wafariena, Adam Corrie dan Yassin Senario.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top