saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Edisi sulung Malaysia Marathon 2026 berlangsung meriah hari ini apabila menghimpunkan kira-kira 25,000 peserta tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadikan ibu negara sebagai tumpuan komuniti larian dari dalam dan luar negara.
Malaysia Marathon 2026 dimulakan dengan acara 42 kilometer (km) pada jam 12.30 tengah malam membabitkan kira-kira 2,000 peserta, sebelum disusuli acara 21km yang menarik penyertaan 8,000 pelari dan 10km dengan 10,000 peserta.
Kemeriahan diteruskan pada jam 7.30 pagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan pelepasan acara 5km di hadapan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dan orang ramai.
Antara pengisian istimewa yang mencuri perhatian ialah Larian Bendera Malaysia sejauh 5km, membabitkan bendera Malaysia berukuran kira-kira satu kilometer yang dibawa oleh 1,000 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi.
Penglibatan pelajar berkenaan melambangkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan, sekali gus memberikan identiti Malaysia tersendiri kepada acara yang turut disertai pelari dari pelbagai negara.
Malaysia Marathon 2026 turut mengetengahkan elemen teknologi menerusi kehadiran robot HONOR, selain persembahan Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengiringi lagu kebangsaan Negaraku, bacaan doa dan ikrar.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan program HOT FM ‘BIG JAM’ serta persembahan pentas membabitkan lagu tema Malaysia Marathon, Bella Astillah, Eda Ezrin & Den Manjo, Genji Buskers dan Anak Senja.
Selain itu, cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Proton Saga 1.5 menjadi antara tarikan utama apabila Muhammad Eusoff Abdul Salim dipilih sebagai pemenang bertuah, manakala beberapa hadiah menarik lain hasil tajaan HONOR turut disediakan kepada peserta.
Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady berkata, Malaysia Marathon diwujudkan untuk menyatukan masyarakat melalui sukan serta menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.
“Malaysia Marathon bukan sekadar tentang perlumbaan, tetapi tentang semangat, disiplin, keberanian dan kebersamaan.
“Kami berbangga melihat peserta tempatan dan antarabangsa berkumpul di Kuala Lumpur dan berharap Malaysia Marathon terus berkembang sebagai acara larian bertaraf antarabangsa yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

