Lelaki Korea Selatan ditahan tinggal 26 tahun di Jepun tanpa visa sah

Tokyo: Seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 72 tahun ditahan di Jepun selepas didakwa tinggal di negara itu selama lebih 26 tahun tanpa visa yang sah, lapor The Independent.

Lelaki yang menetap di Yaizu, wilayah Shizuoka itu, memasuki Jepun pada September 1993 menggunakan visa pelancong selama 15 hari.

Polis menahannya kerana tinggal melebihi tempoh visa bermula Februari 2000, ketika perubahan undang-undang imigresen Jepun menjadikan perbuatan itu sebagai kesalahan yang boleh dihukum.

Menurut Japan Times, polis mula menyiasat kes berkenaan selepas menerima maklumat tanpa nama pada Jun sebelum lelaki itu ditahan pada Rabu.

Polis mendakwa, lelaki berkenaan menggunakan pasport abangnya untuk memasuki Jepun, dipercayai kerana berharap mendapatkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.

Dia dipercayai terus menetap di Jepun sejak itu dan melakukan pelbagai pekerjaan harian bagi menyara dirinya sendiri.

Ketika disoal siasat, lelaki itu dilaporkan mengaku melakukan kesalahan berkenaan dan memberitahu penyiasat bahawa dia melakukan pekerjaan harian sepanjang menetap di Jepun.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana dia berjaya mendapatkan pekerjaan sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, menurut polis, warga asing di Jepun tidak dibenarkan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau melakukan aktiviti yang tidak diluluskan berdasarkan status sah yang diberikan Biro Imigresen ketika memasuki negara itu.

Polis berkata, kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan boleh dihukum penjara dengan atau tanpa kerja berat tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga tiga juta yen (kira-kira RM84,000).

Data Kementerian Kehakiman Jepun menunjukkan, seramai 68,488 orang direkodkan tinggal melebihi tempoh visa sehingga Januari tahun ini, manakala pada 1993, jumlahnya mencecah 298,646 orang.

Penahanan lelaki berkenaan berlaku lebih dua dekad selepas tempoh yang menurut polis menjadikan perbuatan tinggal melebihi tempoh visa sebagai satu kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu akan dihantar pulang ke Korea Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top