272 serangan peneroka haram Israel terhadap pekebun zaitun Palestin dalam 7 minggu

272 serangan peneroka haram Israel terhadap pekebun zaitun Palestin dalam 7 minggu

Kuala Lumpur: Sebanyak 272 serangan peneroka haram Israel direkodkan di wilayah Palestin yang diduduki sepanjang musim menuai buah zaitun antara 1 September hingga 19 Oktober lalu, menyebabkan 200 rakyat Palestin cedera dan lebih 3,200 pokok zaitun dirosakkan.

Menteri Pertanian Palestin Prof Dr Rezq Salimia berkata, angka yang direkodkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) itu mencerminkan cabaran serius yang dihadapi pekebun Palestin akibat serangan peneroka haram Israel, sekatan pergerakan serta kesukaran untuk memasuki tanah pertanian mereka.

“Di sebalik angka ini, terdapat keluarga yang kehilangan sumber mata pencarian. Bayangkan mengusahakan tanah yang sama sejak beberapa generasi, tetapi akhirnya tidak lagi dapat memasukinya. Larangan akses yang berulang kali boleh memaksa pekebun kita berhenti mengusahakan tanah mereka.

“Kesannya merebak dengan pantas. Pendapatan daripada hasil tuaian hilang. Wang untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan musim penanaman berikutnya semakin berkurangan,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk ‘Palestine Beyond the Headlines: The Battle for Land and Livelihoods.’

Salimia berkata, lebih 960 pos pemeriksaan dan sekatan pergerakan lain menyukarkan pekebun memasuki tanah mereka, manakala kira-kira 88,000 dunam (8,800 hektar) tanah memerlukan penyelarasan terlebih dahulu dengan tentera Israel sebelum akses dibenarkan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 15 Oktober.

Beliau menjelaskan bahawa keluasan 88,000 dunam itu merujuk khusus kepada tanah yang tertakluk kepada syarat berkenaan dan bukan jumlah keseluruhan tanah pertanian yang tidak dapat dimasuki rakyat Palestin.

“Pekebun mesti dibenarkan memasuki tanah mereka sepanjang tahun untuk mengusahakan kebun dan menjaga tanaman. Kebenaran masuk hanya pada hari tertentu yang ditetapkan tidak memenuhi keperluan mereka.

“Pekebun mesti dibenarkan bekerja dengan selamat, menuai hasil tanaman sendiri dan pulang ke rumah dengan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, Palestin mempunyai kira-kira 13 juta pokok zaitun yang meliputi kawasan seluas lebih 943,000 dunam (94,300 hektar), dengan hampir 100,000 keluarga Palestin bergantung kepada penanaman zaitun sebagai sumber pendapatan.

Sementara itu, Salimia memetik penilaian bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan PBB yang mendapati hanya kira-kira tiga peratus tanah pertanian di Semenanjung Gaza masih boleh diakses dan tidak mengalami kerosakan setakat 24 Jun lalu.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian Palestin sudah menyediakan bantuan kecemasan kepada pekebun yang terjejas, termasuk anak pokok zaitun, benih gandum, tangki air dan makanan ternakan, selain perkhidmatan vaksinasi ternakan serta veterinar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bantuan sedemikian sahaja tidak mencukupi untuk memastikan pemulihan sektor pertanian tanpa perlindungan antarabangsa dan jaminan akses selamat ke tanah pertanian.

“Pemulihan yang berkekalan memerlukan kebebasan untuk bercucuk tanam. Keluarga yang terpaksa meninggalkan tanah mereka tidak boleh dianggap sebagai bersetuju untuk melepaskan hak ke atas tanah berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top